Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Warga asing cuba elak ujian Covid-19 gagal lolos diri
Diterbitkan:  May 15, 2020 6:56 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Seorang lelaki dipercayai warga asing cuba melarikan diri dari kawasan Jalan Pasar Pudu, di Kuala Lumpur, yang berada di dalam kawasan yang diperketatkan kawalan secara pentadbiran, kerana mahu mengelak menjalani ujian saringan Covid-19.

Cubaan lelaki berusia awal 30-an itu untuk meloloskan diri bagaimanapun gagal apabila dia ditahan polis, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang tadi.

Lelaki itu dikatakan telah memanjat pagar kawat berduri yang dipasang dan keluar ke sebuah pusat beli-belah berhampiran dan wartawan Bernama yang berada di lokasi kejadian sempat melihat lelaki itu berlari masuk ke dalam pusat beli-belah itu sebelum ditahan polis.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Lim memberitahu, penduduk warga asing yang tinggal di kawasan itu kelihatan resah apabila melihat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula meletakkan kawat duri sejak tengah malam tadi.

“Mereka tahu, sekiranya kawasan itu dikepung, mereka tidak dapat melarikan diri.

“Selain itu, kebelakangan ini, warganet di media sosial sering berkongsi tentang Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang giat memburu pendatang asing tanpa izin, itu yang membuat mereka (warga asing) lagi resah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Seawal 10 pagi, ribuan penduduk kawasan sekitar Jalan Pudu meliputi Jalan Landak, Jalan Pasar dan Jalan Brunei, dilihat berbaris menjalani pemeriksaan dan saringan kesihatan Covid-19.

Difahamkan Pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) turut membuat bancian, dengan memeriksa setiap premis di kawasan itu.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawalan di kawasan Jalan Pasar Pudu diperketatkan dari segi pentadbiran, tetapi tidak diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sebelum ini, Chow Kit dan Selayang pernah diklasifikasikan sebagai kawasan yang diperketatkan kawalan secara pentadbiran, iaitu aktiviti pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut dihadkan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS