Paling Popular
Terkini

ULASAN | Dalam pesanan teks yang dikirimkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada saya dalam empat tahun kebelakangan ini, dia akan selalu mengantarnya dengan “Bro”. Oleh sebab saya lebih muda daripada beberapa anak-anaknya, saya pula selalu memanggil beliau dengan panggilan hormat “Tan Sri.”

Pengamatan peribadi saya terhadap lelaki yang lemah lembut ini mengingatkan saya kepada kisah Dr Jekyll dan Mr Hyde. Kisah ini cukup aneh tetapi mungkin itu adalah fitrah manusia ketika seseorang itu menghadapi godaan kuasa.

Kali pertama kami bertemu adalah pada 11 April 2016. Saya dan Anthony Loke, mewakili DAP, berbual lama dengan beliau selama dua jam lebih.

Muhyiddin, yang dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 28 Julai 2015 kerana mempersoalkan penglibatan Najib Razak dengan skandal 1MDB, ketika itu dipantau dan diekori oleh Polis Cawangan Khas.

Bagi mengelakkan diri daripada menarik perhatian, pegawainya telah menyewa sebuah bilik hotel di Petaling Jaya. Saya dan Anthony masuk terlebih dahulu diikuti oleh Muhyiddin 10 minit kemudian. Apabila perjumpaan berakhir, beliau pergi dahulu. Kami pergi 10 minit kemudian.

Pada 25 Julai 2016, Muhyiddin bertemu dengan Lim Kit Siang, juga di sebuah hotel, di Kuala Lumpur. Saya dan Anthony turut serta. Kami melalui proses yang sama. Kami masuk dulu, kemudian Muhyiddin masuk.

Hari ini, saya sangat berharap Muhyiddin tidak akan menggunakan Cawangan Khas untuk memantau pemimpin Pakatan Harapan sepertimana beliau sendiri menjadi mangsa ketika beliau tidak berada di tampuk kuasa.

Sebagai konteks, pertama sekali, Muhyiddin dan Mukhriz Mahathir telah dipecat daripada Umno pada 24 Jun 2016. Kedua, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan dua pertemuan strategi yang melibatkan semua pemimpin pembangkang dan beberapa pemimpin masyarakat sivil pada 28 Jun 2016 dan 14 Julai 2016 untuk membuka jalan kepada penubuhan parti baru.

Dalam pertemuan dengan Kit Siang itu, Muhyiddin memberitahu bahawa parti barunya akan bertanding untuk 15 kerusi parlimen, sebaliknya dalam komunikasi kami dengan pihak Dr Mahathir, kami diberitahu Tun sedang berusaha untuk bertanding 40 kerusi.

Selepas pertemuan itu, Kit Siang berpandangan bahawa angka Dr Mahathir lebih realistik (akhirnya Bersatu bertanding 51 kerusi) kerana seseorang tidak sepatutnya membentuk parti nasional hanya untuk bertanding 15 kerusi.

Muhyiddin kurang bercita-cita tinggi pada masa itu kerana dia berpendapat partinya masih perlu bekerjasama dengan PAS, sedangkan Dr Mahathir telah menolak parti Islamis yang beliau anggap tidak lain hanyalah rakan subahat Najib.

Ketika pertemuan itu, Muhyiddin juga meminta Kit Siang untuk membantu parti barunya untuk memerangi Najib bersama-sama, dan veteran DAP itu berjanji akan menyokong beliau sepenuhnya.

Pada 13 Disember 2016, Muhyiddin mengetuai kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia ataupun Bersatu yang baharu ke ibu pejabat PKR di Petaling Jaya untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Pakatan Harapan (PH).

Usaha ini adalah percubaan rasmi pertama untuk menyelaraskan Bersatu dengan Pakatan walaupun ketika itu Muhyiddin masih memikirkan untuk membentuk “Barisan Rakyat” sebagai platform baru untuk bekerjasama dengan PAS dan parti-parti Pakatan Harapan.

Walau bagaimanapun, Mahathir sudah menjelaskan pendiriannya lebih awal lagi. Pada 12 November 2016, dalam ucapannya kepada Konvensyen Pakatan Harapan, mantan perdana menteri itu sudah menyatakan hasrat Bersatu untuk menyertai PH. Mahathir telah pun mendahului masa, manakala, Muhyiddin dan Mukhriz akhirnya menolak PAS hanya pada Februari 2017.

Siapa bakal PM?

Selepas upacara MOU itu, di sebuah bilik persendirian di ibu pejabat PKR, seorang pemimpin NGO penting secara terbuka mengatakan di hadapan Muhyiddin dan presiden PKR ketika itu Datuk Seri Wan Azizah Ismail bahawa Wan Azizah tidak sesuai untuk menjadi perdana menteri.

Sebaliknya individu itu mencadangkan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan timbalan presiden PKR waktu itu Azmin Ali sebagai timbalannya. Mesyuarat itu tidak berakhir dengan baik.

Individu daripada NGO tersebut adalah orang sama yang menemui saya untuk makan tengah hari pada bulan April 2015 untuk meyakinkan saya bahawa Azmin harus menjadi calon perdana menteri PH. Perkara ini berlaku hanya dua bulan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan pada 10 Februari 2015.

Pada 9 dan 10 Januari 2017, akhbar Sinchew menerbitkan wawancara eksklusif dua bahagian dengan Muhyiddin. Penerbitan wawancara tersebut jelas membawa agenda untuk menyemai rasa sangsi dalam kalangan pengundi Cina terhadap pemimpin Bersatu.

Sinchew memaparkan keraguan Muhyiddin mengenai pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC), secara langsung menanam perasaan tidak puas hati terhadap beliau dalam kalangan rakan-rakan Cinanya.

Saya dan Muhyiddin terus berhubung. Beliau menjemput saya untuk sarapan pagi di sebuah restoran kegemarannya berdekatan dengan rumahnya pada 24 Januari 2017. Pertemuan ini merupakan kali pertama saya bersemuka dengan beliau secara perseorangan.

Kami berbual selama tiga jam. Muhyiddin memberitahu saya bahawa beliau mahu memahami DAP dengan lebih mendalam, “memandangkan kita sekarang perlu bekerjasama.” Salah satu topik yang tidak dapat dielakkan adalah berkenaan jawatan perdana menteri.

Atas permintaan Muhyiddin, Kit Siang berjumpa dengan beliau pada 7 Februari 2017. Muhyiddin meminta sokongan DAP supaya menyokong pencalonan beliau sebagai perdana menteri. 

Kit Siang menjelaskan kepada beliau bahawa perkara ini perlu dibincangkan dengan Anwar kerana pendirian DAP pada masa itu adalah untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Beberapa bulan selepas itu, idea pasukan kepimpinan Muhyiddin–Azmin masih dicanangkan selepas PH menerima Bersatu sebagai komponen parti secara rasmi. Mesyuarat pertama Majlis Presiden PH dengan kehadiran pemimpin Bersatu telah diadakan pada 27 Mac 2017 di tingkat 14, parlimen Malaysia.

Pada April 2017, idea untuk memilih Mahathir sebagai perdana menteri telah dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat persendirian. Bagaimanapun, meletakkan Mahathir semula sebagai perdana menteri adalah idea yang masih sukar diterima orang dalam sekeliling Anwar.

Walaupun kem Muhyiddin menentang idea tersebut pada awalnya, tetapi populariti Mahathir sebagai PM kian meningkat diperingkat akar umbi.

Tidak lama selepas itu, Muhyiddin bagi pihak Bersatu menyokong Mahathir sebagai calon PM. Saya menghormati beliau kerana dapat melihat gambaran luas dan mengenepikan cita-cita peribadi beliau. Tindakan beliau yang cukup dihormati.

Pakatan mengambil masa beberapa bulan untuk memutuskan Mahathir sebagai pengerusi. Rundingan tersebut hampir gagal, tetapi diselamatkan oleh Nurul Izzah Anwar yang bertemu dengan keluarga Mahathir di London semasa Hari Raya.

Pada jam 12.30 malam, 14 Julai 2017, PH menamakan Mahathir sebagai pengerusi, Anwar sebagai ketua umum dan Wan Azizah sebagai presiden.

Fraksi Azmin keluar, bimbang kerana persetujuan yang telah dicapai untuk memilih kerjasama Mahathir–Anwar akan menangguhkan perancangan Azmin untuk menjadi perdana menteri. Tetapi, Muhyiddin menyokong keputusan tersebut tanpa mempedulikan ‘amukan’ Azmin.

Isu tersebut tidak selesai di sini. Kegelisahan Azmin kekal berterusan. Azmin terus mendokong kombinasi Muhyiddin-Azmin sebagai PM-TPM, tetapi Muhyiddin tidak terlibat dengan percaturan ini.

Terdapat pertengkaran hangat antara ahli-ahli Pakatan Harapan yang lain dengan Azmin dan sekutunya di pemukiman Pakatan pada 1 hingga 2 Disember 2017, di Putrajaya. Dalam kalangan empat parti (Amanah, Bersatu, DAP dan PKR), tiga setengah parti bersetuju mengumumkan Dr Mahathir sebagai PMi ke-7 dan Anwar sebagai PM ke-8, dengan tentangan kuat daripada fraksi (PKR) Azmin.

Perunding daripada setiap parti berlumba dengan masa untuk menyelesaikan rundingan pada 6 Januari 2018 bagi mengumumkan pencalonan Mahathir dan Anwar Ibrahim, dan pencalonan Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri, di konvensyen PH pada 7 Januari 2018.

Sekali lagi, Muhyiddin membuktikan bahawa dia seorang yang budiman dengan menyokong persetujuan tersebut meskipun Azmin dan sekutunya meneruskan bantahan keputusan konvensyen.

Selain pencalonan untuk jawatan tertinggi, rundingan untuk kerusi Parlimen di kawasan Semenanjung Malaysia turut diumumkan di konvensyen tersebut. Perundingan ini merupakan pencapaian kali pertama dalam sejarah.

Percaturan Johor

Muhyiddin, Salahuddin Ayub (Amanah), Nurul Izzah (PKR), Anthony Loke (DAP), dan pemimpin Pakatan Harapan Johor telah berjaya menyelesaikan rundingan kerusi Johor pada 18 Januari 2018, negeri pertama yang berjaya melakukannya.

Muhyiddin meminta saya dan Anthony untuk mendapatkan persetujuan DAP untuk kekal bertanding di 14 kerusi demi kepentingan gabungan parti, dan kami pun bersetuju dengan permintaan tersebut.

Pada asalnya, DAP mahu bertanding di 16 kerusi negeri; Johor pada ketika itu masih merupakan kubu kuat BN. Sejak itu, Johor merupakan negeri barisan hadapan yang akan memenangkan PH di peringkat nasional; PH telah memenangi 18 kerusi parlimen (lebih tiga kali ganda berbanding 5 kerusi pada 2013) dan 36 kerusi negeri (dua kali ganda berbanding 18 kerusi pada pilihan raya 2013).

Sebagai pengerusi DAP Johor waktu itu, saya bekerja rapat dengan Muhyiddin. Beliau memutuskan untuk kekal bertanding di Pagoh dan tidak berpindah ke ‘kerusi yang lebih selamat’, satu anjakan keyakinan untuk penyokong Pakatan Harapan.

Pada PRU14, pilihan kerusi Muhyiddin, Mukhriz dan Tun Mahathir memberi satu isyarat kuat buat semua pengundi bahawa mereka sedang berjuang berhabis-habisan.

Setelah melihat perangkaan, saya dan pegawai Muhyuddin yakin akan kemenangan Muhyuddin di Pagoh. Kawasan parlimen Pagoh mempunyai 64 peratus pengundi Melayu dan 36 peratus pengundi kaum lain.

Saya memilih untuk bertanding di kerusi yang penuh cabaran, Ayer Hitam, untuk menekankan bahawa perjuangan ini soal “hidup atau mati.” Kami yakin Muhyiddin akan menang dengan sokongan pengundi bukan Melayu dan 40 peratus pengundi Melayu. 

Akhirnya, beliau memperoleh 55.21 peratus undi, kemenangan bergaya buat Pakatan Harapan di kawasan separuh bandar.

Pada malam pilihan raya, saya bergerak dari Yong Peng di Johor ke Sheraton Hotel, Petaling Jaya, dan tiba pada tengah malam. Muhyiddin menenangkan saya atas kekalahan di Ayer Hitam. Pada malam yang penuh bersejarah, saya dapat rasakan keikhlasan yang disampaikan beliau.


BACA: Kisah Pelik Muhyiddin Yassin - Bahagian 2


LIEW CHIN TONG ialah Anggota Jawatankuasa Pusat DAP dan bekas timbalan menteri pertahanan PH.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS