Kerajaan Perikatan Nasional tidak seharusnya membazirkan duit pembayar cukai dengan mengadangkan sidang Dewan Rakyat hanya untuk sehari pada 18 Mei, kata PSM.
Sebaliknya, timbalan pengerusinya, S Arutchelvan menyarankan agar titah Yang di-Pertuan Agong, pada majlis perasmian mesyuarat pertama, penggal ketiga, parlimen ke-14, Isnin ini disiarkan secara langsung dari Istana Negara sebagai gantinya.
Beliau berkata adalah tidak logik bagi semua 222 anggota Parlimen, termasuk dari Sabah dan Sarawak, untuk semata-mata datang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sesi pembukaan itu.
"Ini jelas bukan 'normal baru' tetapi 'tidak normal' kerana persidangan secara maya boleh dilakukan kerana kita mempunyai banyak masa dan teknologi untuk mempersiapkan diri," katanya dalam satu kenyataan.
Arutchelvan berkata, beliau yakin bahawa Seri Paduka juga akan memahami cadangannya itu.
"Dengan segala hormatnya kepada Yang di-Pertuan Agong, saya rasa cara terbaik adalah sidang satu hari secara fizikal diubah menjadi siaran langsung dengan Seri Paduka menyampaikan titahnya dari istana.
"Kerajaan akan dapat menjimatkan wang serta memastikan ancaman Covid 19 dapat dikurangkan,” katanya.
Pembangkang sebelum ini berkata, memandangkan kerajaan telah melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19, maka adalah wajar persidangan Dewan Rakyat turut dilanjutkan.
Rabu lalu, Speaker Dewan Rakyat Ariff Md Yusof mengatakan bahawa persidangan itu hanya akan mempunyai satu agenda, iaitu mendengar titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut speaker, beliau menerima surat dari Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang menyatakan bahawa Dewan Rakyat harus ditangguhkan setelah titah baginda.
Langkah ini menutup peluang bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mengemukakan usul undi tidak percaya kie atas Muhyiddin.
Sidang Isnin depan adalah yang pertama sejak "Langkah Sheraton" yang menyaksikan kerajaan pemerintahan Pakatan Harapan tumbang pada akhir Februari lalu.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin pada awalnya merancang untuk membentangkan empat usul dan dua rang undang-undang pada sidang satu hari itu.