Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelonggaran di masjid tidak mustahil ditarik balik jika ramai langgar SOP
Diterbitkan:  May 15, 2020 3:50 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Hari ini adalah hari pertama kebenaran untuk solat Jumaat secara terhad di masjid tertentu dibenarkan.

Ditanya wartawan mengenai perkara itu, Menteri Kanan Ismail Sabri bagaimanapun mengingatkan bahawa tidak mustahil kebenaran itu ditarik balik sekiranya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tidak dipatuhi.

Pada sidang media hariannya hari ini, Ismail berkata, "Ini adalah hari pertama penganut agama di beberapa kawasan dibenarkan menghadiri solat Jumaat.

"Kita akan mendengar laporan menteri agama (Zulkifli Mohamad) untuk melihat apa yang berlaku pada hari ini.

Berkemungkinan, jika ada banyak yang melanggar (SOP) tidak mustahil perkara yang dibenarkan akan ditarik kembali," kata Ismail.

Ismail, yang juga menteri pertahanan menambahkan bahawa jika hanya beberapa pelanggaran terpencil, pihak berkuasa hanya akan menasihati masjid tersebut.

"Ada sejumlah senario yang dapat diikuti," katanya.

Ismail juga menambah bahawa beliau telah berbincang dengan Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique kemungkinan melonggarkan peraturan untuk pengikut agama lain seperti Kristian, Buddha, Hindu, Taoisme dan Sikh.

Beliau berkata bahawa perkara ini telah dibawa untuk perbincangan dan keputusan dapat diambil awal minggu depan.

Mengulas isu lain, Ismail mengingatkan orang ramai bahawa mana-mana individu yang berusaha melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran boleh dihukum di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, sekatan jalan raya telah dibuat di plaza tol di seluruh negara untuk mengelakkan perjalanan antara negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS