Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengangguran dijangka dalam julat sehingga 5.5 peratus

Kadar pengangguran di negara ini diunjurkan dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini berikutan impak penularan pandemik COVID-19, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagaimanapun langkah kerajaan membuka sektor ekonomi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selain menyediakan pakej rangsangan ekonomi akan membantu pekerja dan isi rumah menghadapi situasi kritikal berikutan wabak itu.

“Jika meneliti pengumuman kerajaan, kita mahukan penerusan ekonomi berjalan dengan cepat. Ini kerana, lebih cepat ekonomi kita bergerak, maka akan ada pergerakan transaksi kewangan sekali gus membolehkan ekonomi kita cepat pulih.

“Maka, pekerjaan akan dapat diwujudkan dan kadar pengangguran dapat dikawal. Oleh itu, kita menjangkakan julat maksimum kadar pengangguran adalah dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini,” katanya dalam sidang media langsung secara dalam talian hari ini.

Berdasarkan laporan Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia Mac 2020 yang dikeluarkan DOSM sebelum ini, jumlah penganggur meningkat 17.1 peratus kepada 610.5 ribu dengan kadar 3.9 peratus, daripada angka pada bulan sama 2019.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, status permintaan dan penawaran buruh pada suku pertama 2020 memberi isyarat awal ketidakseimbangan dalam pasaran buruh.

“Namun, perlu diingatkan bahawa kerajaan juga telah mengambil langkah untuk mengimbangi keperluan pekerjaan termasuk bagi lepasan pengajian tinggi baharu berjumlah di antara 300,000 dengan 350,000 setahun,” katanya.

Sidang media hari ini diadakan sempena penerbitan laporan Statistik Guna Tenaga Suku Pertama 2020 berdasarkan Survei Guna Tenaga Suku Tahunan yang dilaksanakan ke atas pertubuhan formal dalam sektor swasta meliputi aktiviti utama -- pertanian; perlombongan dan pengkuarian; pembuatan; pembinaan serta perkhidmatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS