Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Setiausaha Dewan Rakyat kena tukar lepas ubah agenda sidang satu hari
Diterbitkan:  May 14, 2020 5:24 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat yang berkhidmat kurang tiga bulan telah dipindahkan, sehari selepas mengeluarkan notis pengesahan bahawa persidangan satu hari itu hanya terhad bagi mendengar titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.

Difahamkan bahawa Riduan yang dilantik pada 22 Februari lalu, beberapa hari sebelum ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang telah ditukarkan sebagai setiausaha bahagian pengurusan Dewan.

Kenyataan yang dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan bahawa Nizam Mydin Bacha Mydin, yang sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai tadbir dan diplomatik di bahagian kabinet, perlembagaan dan perhubungan antara kerajaan, Jabatan Perdana Menteri telah dilantik sebagai setiausaha yang baru berkuatkuasa semalam.

Penukaran itu dipercayai berkaitan dengan penerimaan pembentangan usul undi tidak percaya oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal terhadap penggantinya, Muhyiddin Yassin.

Sumber lain memberitahu Malaysiakini bahawa Riduan hanya mengetahui bahawa dirinya telah ditukar semalam.

"Penukaran serta-merta ini tidak pernah berlaku dalam sejarah parlimen Malaysia, Riduan seolah-oleh kambing hitam akibat tindakan kerajaan PN," tambah sumber tersebut.

Malaysiakini sudah menghubungi Riduan dan Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Undang-undang untuk ulasan mengenai perkara ini.

Dalam kenyataan hari ini, Speaker menzahirkan ucapan terima kasih terhadap Riduan atas khidmatnya.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Encik Riduan Rahmat di atas segala khidmat dan sumbangan sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai Setiausaha Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia yang ke-13 sejak 22 Februari lalu.”

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa notis terdahulu yang dikeluarkan Riduan kepada anggota parlimen berikutan persidangan satu hari menyatakan bahawa akan ada ruang bagi perbincangan mengenai rang undang-undang dan usul urusan kerajaan selepas titah diraja.

Notis awal tersebut juga menjelaskan bahawa Dewan Negara juga akan tetap bersidang, meskipun hanya untuk titah diraja.

Perubahan agenda ini bermakna, persidangan akan tamat setelah titah diraja dan tiada ruang terbuka untuk mana-mana usul, baik oleh kerajaan mahupun pembangkang.

Kerajaan Muhyiddin juga telah berancang untuk mengemukakan empat usul dan dua rang undang-undang buat persidangan sehari tersebut.

PH tetap berterusan menggesa supaya persidangan tersebut dilanjutkan dengan bekas menteri Liew Vui Keong yang telah mengemukana usul untuk lanjutan selama lapan hari, namun Perikatan Nasional (PN) menjelaskan bahawa perkara tersebut - perjumpaan anggota parlimen - boleh menimbulkan risiko penularan Covid-19.

Dr Mahathir telah berjaya mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin yang kemudian diterima Mohamad Arif namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa hanya isu kerajaan akan diberi perhatian semasa persidangan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS