Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengurusan kondo, pangsapuri perlu benarkan penduduk pulang

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob memberi amaran kepada pengurus pangsapuri dan kondominum supaya membenarkan pemilik unit atau penyewa kembali ke rumah mereka.

Menteri kanan itu berkata, ini susulan kebenaran untuk orang ramai melakukan perjalanan rentas negeri dari 7 hingga 10 Mei lalu.

Ismail memberikan amaran itu berikutan terdapat pengurus pangsapuri dan kondominium melarang penduduk kembali ke rumah mereka dalam tempoh berkenaan.

“(Pengurus apartment dan kondominium yang menghalang pemilik unit kembali ke rumah) itu bukan arahan kerajaan tapi tindakan mereka sendiri.

“Harap mereka tidak mengambil tindakan sendiri kerana semua harus patuhi SOP (prosedur operasi standard) dari kerajaan,” kata Ismail pada sidang media harian di Putrajaya yang disiar secara langsung tengah hari tadi.

Ismail berkata demikian selepas ditanya pemberita susulan keluhan pemilik unit yang tidak dibenarkan untuk memasuki pangsapuri dan kondominium mereka oleh pengurus dalam tempoh perjalanan rentas negeri diadakan.

Pemilik unit tersebut malah dipaksa mencari tempat tinggal alternatif seperti menyewa di tempat lain.

Sementara itu, beliau meminta pihak pengurusan bertingkat seperti kondominium, flat dan pangsapuri membenarkan pekerja kontraktor memasuki kawasan berkenaan untuk melakukan kerja pembaikan atau pengubahsuaian.

Ismail terdapat kekeliruan sehingga menyebabkan pihak terbabit tidak membenarkan kerja pengubahsuaian dan pembaikan dilakukan, meskipun kerajaan membenarkan perkara tersebut ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Saya perlu tekankan kepada pengurus bangunan bertingkat ini, mereka kena beri kebenaran kepada pekerja kontraktor untuk ubah suai atau perbaiki unit bangunan itu.

“Kita dengar ada yang tak benarkan (kontraktor) untuk masuk (bangunan) walaupun kita (kerajaan) dah benarkan,” tambah Ismail Sabri.

Bagaimanapun, pekerja kontraktor perlu mematuhi SOP yang ditetapkan sama ada oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Tambahnya, pekerja tersebut boleh mengetahui SOP menerusi laman web MKN, kementerian kerja raya atau PBT.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS