Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Anggota dewan undangan negeri (Adun) Bersatu Mohd Firdaus Ahmad akan ‘mengadap’ Dr Mahathir Mohamad petang ini, dua hari selepas mengaku menyokong Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan baru.

Firdaus, Adun Kuah, malah berkata belum menandatangani sebarang akuan bersumpah (SD), walaupun PAS semalam berkata 23 SD sudah dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

PAS Kedah mendakwa mempunyai sokongan 23 Adun, termasuk dua Adun PKR yang keluar parti dan empat Adun Bersatu yang mendukung kepimpinan Presiden parti Muhyiddin Yassin.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Firdaus berkata beliau akan bertemu dengan Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, petang ini sebelum membuat sebarang keputusan akhir.

"Saya belum tandatangan (SD) lagi. Saya akan bertemu Tun Mahathir dahulu untuk mendengar nasihat dan restu beliau.

"Selepas perjumpaan dengan Tun petang ini, baru saya decide (putuskan)," katanya.

Mahathir dalam sambutan Aidilfitri di Langkawi tahun lepas

Firdaus pada Selasa memberitahu Malaysiakini bahawa beliau dan tiga lagi Adun Bersatu menyokong pembentukan kerajaan baru selepas PH dikatakan hilang majoriti kerana “mengikut arus dan arahan daripada parti”.

Sebelum ini, dua lagi Adun Bersatu - Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) dan, Juhari Bulat (Ayer Hangat) mengaku menyokong PN.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah dan Ayer Hangat terletak dalam kerusi parlimen Langkawi yang dimenangi Mahathir.

Ku Abd Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak) turut dikaitkan dengan peralihan sokongan itu tetapi belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengesahkannya.

Sekiranya mendapat sokongan penuh keempat-empat Adun Bersatu itu, PN Kedah mempunyai kekuatan dengan 23 kerusi berbanding PH hanya mempunyai 13 kerusi.

DUN Kedah mempunyai 36 kerusi DUN.

Pergolakan di Kedah berlaku susulan pertembungan di peringkat pusat apabila Mukhriz, seperti Mahathir yang juga bapanya, menolak kerjasama dengan PN.

Setakat semalam Mukhriz mengaku beliau masih menteri besar yang sah selagi PN belum membuktikan majoritinya secara rasmi.

Beliau juga berkata “kerajaan Bersatu dan PH” di Kedah masih stabil.

Mengadap sultan esok?

Sementara itu, memetik sumber, Harian Metro pagi tadi melaporkan 23 Adun yang menyokong PN dijangka menghadap sultan Kedah di Istana Anak Bukit, Alor Setar esok.

Sumber berkata, menjadi amalan biasa istana mendengar sendiri perkembangan berkenaan daripada semua wakil rakyat terbabit sebelum memperkenankan sebarang keputusan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS