mk-logo
Berita
Niat jalan kaki Segamat-Kuala T'ganu tak kesampaian
Diterbitkan:  May 14, 2020 9:58 AM
Dikemaskini: 4:11 AM

Seorang lelaki berusia 30 tahun ditemui meninggal dunia dan jenazahnya diuji positif jangkitan Covid-19 di Rompin.

Mangsa sedang berjalan kaki untuk pulang ke Kuala Terengganu dari Segamat, Johor ketika rebah dan meninggal dunia, menurut seorang pengurus jenazah, Rafie Zainal.

Pada catatan di Facebook pada hari Selasa, Rafie berkata saudara terdekat si mati telah memberitahunya bahawa arwah ialah bekas pengawal keselamatan yang bekerja di Segamat.

"Dia telah berhenti dari pekerjaannya dan bermaksud mencari yang baru di Kuala Terengganu, tetapi pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada 18 Mac telah membatalkan rancangannya, kata catatan di media sosial itu.

"Arwah disahkan positif Covid-19 setelah ditemui meninggal dunia di tepi jalan menghala ke Muadzam Shah, Pahang ketika dia sedang berjalan kaki pulang ke rumahnya di Kuala Terengganu dari tempatnya di Segamat, Johor.

"Oleh kerana terlalu rindukan anaknya di kampung, arwah berkeras juga untuk pulang walaupun dengan hanya berjalan kaki setelah sekian lama terpisah dengan keluarganya semenjak PKP bermula,” tulis Rafie di halaman Facebook Skuad Pengurusan Jenazah (SPJM).

Jarak antara Terengganu dan Segamat lebih 370 kilometer.

Menurut Rafie, ada sumber memaklumkan kepada pihaknya yang arwah ada melintasi kawasan sekatan jalan raya (SJR) "dan arwah dilihat dalam keadaan lemah tidak bermaya."

"Atas ihsan mereka, arwah diberikan makanan dan dinasihatkan untuk tidak meneruskan perjalanannya itu. Namun arwah berkeras juga untuk pulang berjalan kaki yang dimulakannya sejak pagi Jumaat, 8 Mei 2020 yang lepas," jelasnya lagi.

Katanya, jenazah arwah ditemui di jalan raya dan dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat, tetapi disebabkan kebimbangan mengenai Covid-19, mayat itu dipindahkan ke Hospital Tunku Ampuan Afzan, di mana mayatnya telah diuji positif.

Pihak hospital kemudian menghubungi saudara terdekat lelaki itu, tetapi mereka tidak dapat menanggung kos menguruskan jenazah, yang bermula dari RM1,500.

Oleh itu, pihak hospital menghubungi SPJM sebagai gantinya untuk membantu menguruskan jenazah arwah, katanya, yang telah dikebumikan pada pagi Rabu lalu.

SPJM pada hantaran itu juga memohon sumbangan dermawan, melalui akaun bank kumpulan itu.

Sementara itu, Sinchew Daily memetik Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Bahari Awang Ngah mengesahkan seorang lelaki dari Segamat telah ditemui mati dengan Covid-19 di Rompin.

Mengulas soalan sekiranya si mati mungkin menimbulkan risiko jangkitan kepada orang yang mungkin ditemuinya ketika dalam perjalanan jauh itu, Bahari dilaporkan berkata lelaki itu berjalan sendiri selama kira-kira dua hari.

Jenazahnya ditemui di Jalan Pekoti Timur, Bandar Tun Razak, tetapi dia tidak sampai ke pinggir bandar.

Menurut Peta Google, jarak dari Segamat ke Kuala Terengganu kira-kira 372km. Jarak dari Segamat ke Jalan Pekoti Timur, sekitar 42km.

Segamat dianggap sebagai zon ‘Kuning’, dengan empat kes Covid-19 aktif dilaporkan di sana setakat semalam.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, semalam memaklumkan seorang lelaki berusia 30 tahun ditemui mati di Rompin dan mayatnya kemudian didapati positif Covid-19 pada hari Selasa.

Beliau berkata mangsa dirujuk sebagai Kes 6,743, yang merupakan kematian Covid-19 ke-110 di Malaysia.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS