Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekolah boleh dibuka tapi dengan pematuhan tegas SOP

KORONAVIRUS | Ibu bapa akan yakin untuk membenarkan anak-anak mereka ke sekolah selepas ancaman Covid-19 diatasi jika pihak sekolah dapat memberi jaminan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa akan dipatuhi.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hassan, berkata kebimbangan itu memang ada. Misalnya, kata beliau, berhubung aspek kebersihan di sekolah.

“Kalau pihak sekolah boleh memberi jaminan bahawa SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaksana, ibu bapa akan mempunyai yakin untuk menghantar anak mereka meneruskan pembelajaran,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Pada masa sama Mohamad Ali mengakui sekolah wajar dibuka apabila keadaan mengizinkan kerana ketika ini pun pelajar sudah tertinggal banyak dalam pembelajaran.

Justeru, kata beliau, cadangan untuk mendahulukan pembukaan sekolah hanya untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam tahun ini boleh diterima.

Sebelum ini Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Jidin menjelaskan apabila sesi persekolahan disambung semula, secara purata setiap kelas hanya boleh menempatkan antara 16 dan 17 pelajar pada satu-satu masa.

Katanya kementerian sudah pun membuat percubaan lapangan bagi menentukan jumlah pelajar yang wajar dalam satu kelas berdasarkan keluasannya.

Langkah itu, katanya, dibuat supaya aspek penjarakan sosial dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) bersetuju dengan cadangan mengehadkan hanya 17 murid dalam satu kelas.

Presidennya, Aminuddin Awang, jika kelas tidak mencukupi untuk menampung pelajar yang ramai, sekolah boleh menggunakan kemudahan lain yang ada, seperti dewan.

“Jika tak cukup kelas, pihak sekolah boleh gunakan dewan dengan jarakkan meja, sekurang-kurangnya boleh tampung 40 murid,” katanya.

Jelas Aminuddin, dalam keadaan begitu cikgu memang bakal berdepan dengan kekangan seperti seorang guru terpaksa mengendalikan dua atau tiga kelas pada waktu sama.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sudah berbincang dengan kementerian dan sedang menunggu SOP yang bakal dikeluarkan berkenaan perkara tersebut.

“Ya (guru) akan ada masalah, tetapi NUTP sedang menunggu SOP yang bakal dikeluarkan oleh kementerian tak lama lagi,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS