Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Johor benarkan solat Jumaat, Aidilfitri bersyarat

Kerajaan negeri Johor membenarkan solat Jumaat diadakan bermula 15 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata selain itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar juga berkenan membenarkan solat sunat Aidilfitri serta akad nikah diadakan.

Bagaimanapun pelaksanaan solat Jumaat, solat sunat Aidilfitri serta akad nikah tersebut mesti mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), katanya pada sidang media di Johor Bahru hari ini.

Tosrin berkata antara syarat itu ialah hanya 12 jemaah bagi solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di sesebuah masjid yang merangkumi imam satu, imam dua, bilal, siak serta lapan individu lain yang ditentukan oleh jawatankuasa masjid.

“Pelaksanaan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri ini akan dipantau oleh jawatankuasa dengan bantuan agensi keselamatan. Kalau ada pelanggaran, maka masjid tersebut tidak akan dibenar mengadakan solat Jumaat atau Aidilfitri,” katanya.

Bagi proses akad nikah pula, Tosrin berkata pelaksanaannya berkuat kuasa 17 Mei di pejabat kadi daerah.

Majlis hanya boleh dihadiri enam orang termasuk pengantin, wali dan saksi, katanya menambah seramai 872 pasangan dijangka mengambil peluang untuk melangsungkan perkahwinan masing-masing, iaitu mereka yang diberikan kebenaran oleh pejabat kadi sebelum Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS