Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saringan Covid-19 Perkeso fokus pekerja asing dari dua sektor
Diterbitkan:  May 13, 2020 9:09 PM
Dikemaskini: 1:09 PM

Saringan Covid-19 di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memberi keutamaan kepada pekerja asing daripada dua sektor bermula esok.

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata, tumpuan akan diberikan terhadap pekerja di sektor pembinaan dan industri kawalan keselamatan di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Saringan hanya akan dibuat berdasarkan janji temu yang diatur oleh syarikat terbabit dengan penyedia perkhidmatan PSP Perkeso yang dilantik. 

"Ujian saringan boleh dijalankan sama ada di tempat kerja atau di premis penyedia perkhidmatan (mobile screening).

"Sehubungan itu, semua janji temu yang telah dibuat dengan penyedia perkhidmatan PSP Perkeso adalah ditangguhkan sehingga dimaklumkan kelak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Saravanan, perubahan ini adalah selaras dengan arahan terkini kerajaan yang memberi fokus saringan Covid-19 kepada pekerja-pekerja asing dalam kedua-dua sektor tersebut.

"Ia juga adalah selaras dengan panduan Kementerian Kesihatan untuk menjalankan saringan secara bersasar kepada golongan yang berisiko," jelasnya.

Ujian saringan Covid-19 menerusi PSP Perkeso terbuka kepada 298,000 orang yang berdaftar dengan program itu.

Program berkenaan dijalankan oleh penyedia perkhidmatan yang dilantik Perkeso di 39 lokasi serta 120 unit bergerak di seluruh negara.

Syarikat BP Healthcare  dilapor memenangi kontrak bagi menyediakan perkhidmatan berkenaan.

Bagaimanapun, ada pekerja mengadu kesukaran melakukan ujian dan lewat menerima keputusan mereka, manakala Persatuan Perubatan Malaysia (MAA) berkata polisi kerajaan yang flip-flop dalam pelaksanaan PSP menyebabkan timbul kekeliruan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS