Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: 37 kes baru dengan 2 kematian hari ini
Diterbitkan:  May 13, 2020 4:53 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat 37 kes baru Covid-19 setakat tengah hari tadi.

Katanya, daripada jumlah itu, 21 kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia dan terdapat empat kes import dan 33 kes penularan tempatan.

“Oleh itu, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,779 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,387 kes.

“Sehingga kini, seramai 16 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Dr Noor Hisham juga mengumumkan terdapat pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 111 kes.

“Kes kematian ke-110 (kes ke-6743) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 30 tahun yang ditemui mati di Rompin, Pahang.

“Kes ini di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Kesihatan Rompin. Punca jangkitan belum dikenalpasti dan masih di dalam siasatan.

“Kes kematian ke-111 (kes ke-5195) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kronik pernafasan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat 58 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 5,281 kes atau 77.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengulas perkembangan kes Covid-19 di negara ini, beliau mengakui bahawa jumlah kes kumulatif semakin meningkat namun kadar kenaikan kes didapati semakin perlahan.

“Keberkesanan pendekatan oleh kerajaan dapat dibuktikan apabila dikaji dengan menggunakan kaedah permodelan dan ramalan yang dijalankan Institut Kesihatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1 sehingga PKP 4 telah berhasil dalam menurunkan kebolehjangkitan Covid-19 dalam negara,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkongsi amalan 3W iaitu 'wash’ (basuh), ‘wear’ (pakai) dan 'warn’ (amaran), bagi memastikan rakyat negara ini sentiasa menjaga kebersihan diri dalam usaha mengekang penularan jangkitan COVID-19 terutamanya ketika musim perayaan.

“Amalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), digalakkan memakai alat penutup hidung dan mulut di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan (warn) iaitu amaran yang lebih berkonsep peringatan,” katanya.

Beliau turut menyarankan rakyat negara ini untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan termasuk mengelak daripada bersalam atau bersentuhan, menjaga etika batuk dan bersin, melakukan disinfeksi, duduk di rumah serta mendapatkan rawatan sekiranya bergejala.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS