Sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung sehari sahaja pada 18 Mei ini, hanyalah semata-mata bagi mendengar titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong tanpa melibatkan sebarang urusan lain.
Ia sekaligus menutup pintu untuk sebarang usul undi tidak percaya dibuat terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Dalam satu kenyataan hari ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof, memberitahu beliau menerima surat pemakluman daripada Muhyiddin selaku ketua Majlis Dewan Rakyat, bahawa kerajaan memutuskan tiada sidang selepas titah Diraja yang dijadualkan berlangsung jam 10 pagi, pada 18 Mei, Isnin ini.
Katanya, beliau dimaklumkan keputusan itu dibuat kerajaan disebabkan penularan wabak Covid-19 dalam negara yang masih belum reda sepenuhnya.
Perkara sama turut dizahirkan dalam satu notis pemberitahuan oleh setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat ditujukan buat ahli-ahli Parlimen dan dilihat Malaysiakini, bertarikh hari ini.
Ini berbeza daripada notis lebih awal oleh Riduan sebelum ini, yang menyatakan selain titah diraja, sidang pada 18 Mei ini akan turut membincangkan rang undang-undang dan usul urusan kerajaan sahaja.
Notis awal yang dikeluarkan bulan lalu itu turut mengesahkan sidang Parlimen hanya akan bersidang selama sehari sahaja bagi tujuan yang disebutkan itu.
Perubahan agenda ini bermakna, tiada ruang terbuka untuk mana-mana usul, baik oleh kerajaan mahupun pembangkang.
Sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini merupakan persidangan pertama sejak “Langkah Sheraton” yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Kerajaan Muhyiddin pada asalnya bercadang membentangkan empat usul dan dua rang undang-undang pada persidangan sehari itu.
Dengan perkembangan terbaru ini, rancangan tersebut pun nampaknya tidak akan menjadi kenyataan.
PH sebelum ini mendesak agar persidangan itu dilanjutkan dengan bekas menteri Liew Vui Keong menghantar satu usul memintanya dilanjutkan sehingga lapan hari, tetapi PN membidasnya dengan membangkitkan tentang risiko jangkitan Covid-19.
Mahathir sebelum ini berjaya menghantar permohonan usul tidak percaya ke atas Muhyiddin yang diterima oleh Mohamad Ariff, tetapi menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan menegaskan hanya usul kerajaan akan diutamakan.
Ahli Parlimen Seputeh dari DAP Teresa Kok, dalam respons segeranya berkata, perkembangan itu menunjukkan Muhyiddin terlalu takut untuk mengadakan sidang Parlimen.
“Dia takut nak berhadapan dengan PH di parlimen,” katanya.