Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Biasalah, apa perasaan bila dikhianati kawan-kawan’
Diterbitkan:  May 13, 2020 3:07 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir menganggap tindakan beberapa Adun Bersatu memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) semalam sebagai perkara biasa.

Malah, Mukhriz berkata ini bukan kali pertama beliau dikhianati.

"Biasalah, apa perasaan seseorang bila dikhianati kawan-kawan. Sebelum ini pun dah pernah berlaku di peringkat Persekutuan dan sekarang di peringkat negeri.

"Nampaknya, musim pengkhianatan ini memang sejak tahun 2020 ini.

“Mungkin tahun ini bukan tahun yang begitu baik untuk negara, sebab kita ini sibuk dengan Covid-19, dengan bulan Ramadan lagi, jadi apa sebabnya tindakan seperti ini perlu dilakukan waktu kita beri tumpuan kepada rakyat? soalnya dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Kedah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perasaannya susulan perkembangan terbaru politik Kedah.

‘Tak gelojoh? Kenapa tak tunggu lepas raya?’

Semalam Ketua Pembangkang Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan seramai 23 daripada 36 Adun, termasuk dua daripada PKR yang keluar parti dan empat wakil Bersatu, hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Beliau justeru mendakwa Perikatan Nasional (PN) mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri baru.

DUN Kedah, gambar hiasan

Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga ADUN Jerlun mempersoalkan tindakan empat Adun Bersatu yang berubah angin ketika pentadbirannya sibuk menangani penularan wabak Covid-19.

"Semalam saya mempengerusikan mesyuarat JKKN khas untuk tangani masalah Covid-19, pada waktu masa yang sama pihak pembangkang membuat mesyuarat dan sidang media mengenai tindakan mereka untuk menjatuhkan kerajaan. 

"Jadi, siapa yang jaga rakyat sebenarnya?

"Saya rasa tak sesuai kot kalau nak katakan mereka tidak gelojoh.Tapi, kalau tak gelojoh kenapa tak tunggu selepas Hari Raya? Tinggal dua, tiga minggu saja, tak ada masalah apalah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS