Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahkamah dibuka berperingkat, pemeriksaan rapi orang ramai

Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) di ibu negara, yang sebelum ini beroperasi untuk kes-kes tertentu susulan Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini dibuka secara berperingkat dengan kawalan ketat dan pemeriksaan rapi terhadap orang ramai yang memasuki bangunan berkenaan.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati, orang ramai dan peguam telah mula beratur seawal 8 pagi mengikut peraturan penjarakan sosial yang ditetapkan oleh mahkamah dan mereka juga diwajibkan mengisi borang yang mengandungi butiran nama, nombor kad pengenalan, alamat, nombor telefon, tujuan datang dan mahkamah mana ingin dituju sebelum dibenarkan untuk memasuki bangunan kompleks itu.

Pihak pengurusan mahkamah juga telah menyediakan tiga laluan masuk, masing-masing untuk orang awam serta peguam serta pihak media dan satu kaunter disediakan untuk orang awam memeriksa kes yang didaftar di mahkamah.

Setiap individu akan disemburkan dengan cecair pembasmi kuman di tapak tangan oleh pihak pengurusan mahkamah dan pemeriksaan saringan kesihatan melalui alat pengimbas suhu badan turut dijalankan di lobi sebelum dibenarkan memasuki mahkamah.

Prosedur sama turut dilaksanakan di Istana Kehakiman, Putrajaya, Mahkamah Kajang dan Selayang di mana wartawan Bernama membuat liputan kes di mahkamah itu.

Di dalam bilik bicara mahkamah pula, setiap bangku panjang ditandakan X bagi setiap satu meter untuk memastikan jarakan sosial di dalam mahkamah dan hakim-hakim, pegawai mahkamah, peguam, timbalan pendakwa raya juga media dan orang awam turut memakai pelitup separuh muka.

Di Mahkamah Rayuan, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang hadir bagi satu kes memohon kebenaran mahkamah untuk membuka pelitup muka sebelum memulakan hujahannya.

“Saya memohon untuk membuka pelitup muka saya. Cermin mata saya pun dah kelabu (disebabkan wap).” katanya dan permohonannya dibenarkan mahkamah.

Menurut seorang kakitangan mahkamah yang bertugas hari ini, bukan semua bilik mahkamah dibuka sebaliknya hanya beberapa bilik mahkamah dibuka secara berperingkat mengikut giliran majistret dan hakim yang bertugas.

"Bagi Mahkamah Tinggi Jenayah hanya tiga buah bilik mahkamah dibuka, Mahkamah Majistret dan Sesyen Jenayah, masing-masing empat dan lima bilik, Mahkamah Majistret Sivil dan Sesyen, masing-masing empat dan enam buah bilik manakala Mahkamah Tinggi Sivil dan Mahkamah Tinggi Dagang, masing-masing hanya tujuh bilik mahkamah dibuka," katanya.

Peguam P Chandran, yang hadir untuk satu kes sivil hari ini berkata kawalan ketat yang dijalankan oleh pihak pengurusan mahkamah adalah langkah terbaik bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dalam menjalankan operasi mahkamah.

"Kita bukan sewenang-wenangnya boleh memasuki mahkamah dan setiap individu perlu mematuhi langkah keselamatan yang dijalankan oleh pihak mahkamah dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk elak penularan wabak ini," katanya yang turut memaklumkan bagi kes sivil, pihak peguam juga boleh mendapatkan tarikh melalui sistem kehakiman yang dijalankan menerusi dalam talian tanpa perlu hadir ke mahkamah.

Seorang lagi peguam, Nurhanida Md Mukhtar berkata langkah yang diambil oleh pihak pengurusan mahkamah termasuk menampal notis penjarakan sosial pada hampir semua tempat duduk termasuk menyediakan hanya empat petak bagi pengguna lif pada satu masa, wajar diberi pujian.

"Pihak pengurusan mahkamah dilihat begitu bersungguh-sungguh dan prihatin dalam menjaga keselamatan orang ramai," katanya.

Orang awam, S Thivyashini pula berkata tindakan diambil oleh pihak pengurusan mahkamah dengan menjalankan pemeriksaan ketat untuk setiap individu sebelum memasuki mahkamah adalah langkah baik untuk mengelak penularan wabak Covid-19.

Menurut kenyataan media daripada Badan Kehakiman, mahkamah terbuka akan bermula secara berperingkat mulai hari ini.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS