Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan saman lucut hak wang 1MDB daripada Jakel diketahui 4 Jun
Diterbitkan:  May 13, 2020 11:54 AM
Dikemaskini: 3:54 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur akan membuat keputusan mengenai permohonan kerajaan untuk melucut hak wang berjumlah RM628,314, yang didakwa berkaitan dengan skandal 1 Malaysia Development (1MDB) daripada Jakel Trading, pada 4 Jun ini.

Keputusan itu sepatutnya disampaikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada 28 April tetapi dijadualkan semula kepada 4 Jun berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Jakel Trading, Thevini Nayagam apabila dihubungi oleh Bernama hari ini.

Pada Jun tahun lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan saman pelucutan hak terhadap 41 entiti yang terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan 1MDB.

SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan secara tidak sah daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS