Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pengangguran dapat diatasi dengan ubah pemikiran rakyat'
Diterbitkan:  May 12, 2020 9:42 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan yakin kerajaan dapat mengatasi kadar pengangguran yang tinggi dalam negara sekiranya rakyat yang masih menganggur mengubah pemikiran dengan menerima apa sahaja peluang pekerjaan sedia ada.

Saravanan berkata, sudah tiba masanya warga tempatan terlibat dalam sektor ‘pekerjaan 3D’ iaitu kotor, bahaya dan sukar daripada terus menganggur.

"Walaupun kita mengalami kekangan kewangan atau pun kelembapan ekonomi tetapi sekiranya rakyat Malaysia sedia menerima apa jua kerja yang diterima, asalkan pekerjaan itu dapat menampung sesuap nasi.

 "Dan kalau kita boleh tukar pemikiran rakyat supaya menerima apa saja kerja yang mereka dapat, kita akan ada cukup peluang pekerjaan, "katanya dalam siaran langsung bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di Facebooknya, hari ini.

Pada masa yang sama Saravanan berkata, kementerian dan agensi-agensi di bawahnya seperti Majlis Pembangunan Sumber Manusia dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) ada menyediakan latihan bagi meningkatkan kemahiran para pekerja.

"Sebab sebelum ini, kita hanya membenarkan pekerja asing untuk bekerja di sektor bawah. Tetapi, hari ini kita sudah lihat mereka ini sebagai pekerja mahir.

"Maka, sektor-sektor ini harus diambil alih oleh warga tempatan dan kerajaan serta kementerian sumber manusia sedia menjalani pelbagai latihan melalui agensi-agensi lain supaya membekalkan pekerja tempatan dengan kemahiran yang ada pada mereka mengikut keperluan semasa," katanya.

Terdahulu, Ketua Jabatan Perangkaan Malaysia, Mohd Uzir Mahidin pada 8 Mei lalu memaklumkan jumlah pengangguran pada Mac meningkat 17.1 peratus kepada 610,500 orang berbanding 521,300 orang pada bulan sama tahun lalu.

Menurut Mohd Uzir, ini menjadikan kadar pengangguran pada Mac 2020 meningkat kepada 3.9 peratus.

Katanya, kadar pengangguran yang tinggi ini dipengaruhi terutama oleh impak negatif perintah kawalan pergerakan (PKP) ke atas pasaran buruh.

"Kadar pengangguran tertinggi negara pernah dicatatkan ialah pada kadar 7.4 peratus pada 1986," katanya mengumumkan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia bulan Mac dan suku pertama 2020 sebelum ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS