Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN sepakat dukung Muhyiddin sebagai PM
Diterbitkan:  May 12, 2020 8:12 PM
Dikemaskini: 12:12 PM

Kurang dari seminggu sebelum Dewan Rakyat bersidang untuk kali pertama sejak Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan, BN hari ini mengumumkan sokongan tidak berbelah bagi kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pengerusi Dewan Tertinggi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi petang tadi, gabungan itu menjelaskan mereka juga akan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin.

Kata Ahmad Zahid, pendirian tersebut dicapai sebulat suara dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang diadakan hari ini.

"BN adalah kelompok terbesar dengan 43 kerusi parlimen yang memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai perdana menteri kelapan yang seterusnya membentuk kabinet Malaysia yang baru, dikenali sebagai kerajaan Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Gabungan itu juga berpendirian untuk mengundi secara en-bloc bagi menyokong Muhyiddin jika bekas timbalan presiden Umno itu berdepan dengan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Di sebalik pendirian tersebut, BN bagaimanapun mempunyai pandangan tersendiri berhubung usaha mendaftarkan secara sah PN.

"Berhubung pendaftaran PN secara formal sebagai sebuah parti seperti dicadangkan, BN berpandangan BN perlu melalui proses tertentu dalam parti komponen masing-masing," katanya.

Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkannya dengan butiran tersebut. 

PN dibentuk melalui kerjasama majoriti pemimpin Bersatu - yang diketuai Muhyiddin - meninggalkan PH untuk bersama Umno, MIC, MCA dan PAS bagi mewujudkan kerajaan baru.

Ia berlaku ketika parti-parti terbabit - kecuali Bersatu - tidak mendapat mandat daripada rakyat dalam pilihan raya umum dua tahun lalu.

Isu keabsahan PN sebagai badan berdaftar dibangkitkan sendiri oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, baru-baru ini.

Dewan Rakyat dijadual bersidang selama satu hari pada 18 Mei ini dan menjadi perhatian ramai kerana bekas perdana menteri yang juga pengerusi Bersatu mengemukakan usul tidak percaya kepada Muhyiddin.

Sementara itu dalam mesyuarat sama BN juga bersetuju menerima kembali Parti Bersatu Rakyat Sabah sebagai salah sebuah anggota gabungan berkenaan.

"Kini BN terdiri daripada gabungan empat parti politik tanah air iaitu Umno, MCA, MIC dan PBRS," kata Ahmad Zahid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS