Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sanusi: Saya simpati pada Mukhriz, dia patut bersama Muhyiddin
Diterbitkan:  May 12, 2020 5:09 PM
Dikemaskini: 10:33 AM

Pengarah Pilihan Raya PAS Muhamad Sanusi Md Nor menyuarakan simpatinya terhadap Mukhriz Mahathir kerana dua kali berdepan kehilangan majoriti sokongan Adun, sepanjang menjadi menteri besar Kedah.

Sanusi, yang dikatakan antara calon menteri besar baru, berkata Mukhriz tidak akan berdepan perkara itu sekali lagi jika beliau bersama-sama dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

"Saya bersimpati, (Mukhriz) sebagai seorang pemimpin yang terpaksa berdepan senario seperti itu dalam kerjayanya, saya bersimpati.

"Dia patut ambil tindakan untuk bersama-sama Muhyiddin, dia tidak akan kena (berdepan dengan perkara ini).

"Sekali kena cukuplah, ini dua kali. Saya pun kesian juga," katanya ketika ditanya pemberita ketika sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook, hari ini.

Dalam sidang media itu, Sanusi mengumumkan Perikatan Nasional (PN) mempunyai cukup majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru di Kedah.

Ia selepas dua Adun PKR, Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin (Lunas), mengumumkan keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada PN.

Sanusi Md Nor

Beliau turut berkata seramai 23 adun di negeri itu - termasuk empat daripada Bersatu - telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Pada Februari 2016, ketika memimpin kerajaan BN di negeri itu, Mukhriz meletakkan jawatan sebagai menteri besar selepas hilang majoriti sokongan di DUN. Tempatnya digantikan oleh Ahmad Bashah Md Hanipah.

'Durian baru luruh'

Sementara itu, Sanusi sempat berseloroh bahawa PN di Kedah sedikit lambat menubuhkan kerajaan negeri baru, berbanding gabungan itu di Melaka dan Johor yang berbuat demikian pada Mac, tidak lama selepas Bersatu keluar daripada PH.

"Durian tak luruh, (sekarang) baru luruh. Kita ambil pendekatan tak gelojoh. (PN Kedah) Tidak terdesak dan tidak membuat perkara yang boleh meresahkan rakyat," katanya ketika ditanya tentang perkara itu.

"Jadi kita biar proses itu berjalan dan proses itu mengambil tempat pada hari ini. Takkan durian luruh tak nak pergi kutip," katanya lagi.

Bersatu kini sedang berdepan pergolakan dalaman sejak Muhyiddin membawa keluar parti itu daripada PH untuk menubuhkan kerajaan PN.

Mahathir tidak bersetuju dengan tindakan itu dan sebelum ini membayangkan mahu mendapatkan semula kawalan terhadap parti itu.

Mukhriz pula bakal mencabar Muhyiddin bagi jawatan presiden dalam pemilihan parti yang akan datang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS