Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ismail: Tak mustahil PKP dikuatkuasa semula jika rakyat ingkar
Diterbitkan:  May 12, 2020 4:19 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Perintah kawalan pergerakan (PKP) mungkin dikuatkuasakan semula sekiranya orang ramai gagal mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menteri kanan (kluster keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat banyak laporan ketidakpatuhan orang ramai termasuk ibu bapa yang membawa anak mereka keluar ke pasar raya ketika PKPB.

"Saya nak tekankan di sini bahawa, apabila kita melonggarkan (PKP) kita mahu rakyat kita patuh kepada setiap peraturan yang dikeluarkan kerana bimbang akan berlaku kes-kes baru, yang mungkin akan meningkatkan lagi jumlah positif Covid-19.

"Jadi, saya ingin memberikan peringatan bahawa PKPB bukan boleh kekal terus sebagai PKPB, mungkin ia diperketatkan semula.

"Kalau berlaku banyak ketidakpatuhan, bukan perkara yang mustahil akhirnya PKP seperti PKP 1, 2, 3 diperkenalkan semula," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sehubungan itu, Ismail menasihati orang ramai agar mematuhi peraturan sekiranya mahu terus menikmati kelonggaran di bawah PKPB.

"Kalau tidak, tidak mustahil kita akan kembali kepada PKP yang asal dan akhirnya membataskan kembali pergerakan kita," katanya.

Ismail turut mengingatkan orang ramai bahawa fasa nasihat dan amaran PKB berakhir hari ini dan pihak polis mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang ingkar.

Beliau berkata mereka yang didapati melanggar peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Saya nak tekankan di sini bahawa undnag-undang Akta 342 masih berkuatkuasa. 

"Oleh itu, PDRM diberikan kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan dan SOP di bawah PKPB ini," katanya.

Sementara itu Ismail mengulas tindakan segelintir orang ramai menyerbu Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membuat rayuan permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Menurut Ismail beliau sendiri mendapat laporan dan melihat gambar individu yang tidak mematuhi penjarakan sosial ketika berurusan di jabatan berkenaan.

Justeru Ismail menasihatkan orang ramai supaya bertenang kerana rayuan BPN boleh dibuat sehingga 31 Mei ini.

"Jadi banyak masa lagi dan tak perlulah tergesa-gesa untuk ke kaunter LHDN untuk buat rayuan.

"Tak kira di mana-mana sahaja kaunter LHDN ke, pasar ke, restoran atau pasar raya ke, yang beratur mesti patuhi SOP dari segi penjarakan sosial," katanya.

Katanya, beliau juga telah berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menempatkan seorang anggota untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP dan penjarakan sosial ketika berurusan di kaunter LHDN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS