Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PN cuba tarik penyokong Mukhriz, Adun Jeneri calon MB - sumber

Perikatan Nasional (PN) berusaha memperkuhkan kedudukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dengan cuba menarik beberapa lagi wakil rakyat Bersatu yang menyokong kepimpinan Mukhriz Mahathir, menurut sumber.

"Kita sedia maklum bahawa Bersatu juga berpecah kepada dua team (pasukan) iaitu pihak yang menyokong PH dan pihak yang menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

"PAS Kedah yakin selepas Adun Sidam dan Lunas daripada PH, akan ada lagi Adun daripada Bersatu turut akan meninggalkan PH.

"Ini akan mengukuhkan pembentukan kerajaan PN Kedah sekali gus memberi kekuatan majoriti kerusi DUN," kata sumber dalaman PAS negeri yang mengetahui perkembangan semasa di Kedah.

Robert Ling Kui Ee dan Azman Nasrudin 

Terdahulu, Adun Sidam Dr Robert Ling Kui Ee dan Adun Lunas Azman Nasrudin mengumumkan keluar PKR, menjadi wakil bebas dan mendukung kepimpinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Dengan pengumuman itu, PH Kedah kini mempunyai 17 kerusi di DUN dan PN pula memperolehi majoriti dengan 19 kerusi.

Bagaimanapun, kedudukan itu kurang kukuh kerana jika dua orang Adun sahaja beralih kem, kerajaan negeri akan berubah sekali lagi.

Bersatu sedang dilanda pergolakan dalaman susulan penentangan kumpulan Pengerusi Dr Mahathir Mohamad. Mukhriz yang juga anak Mahathir mencabar Muhyiddin sebagai pengerusi parti dalam pemilihan Bersatu.

‘PAS terajui Kedah’

Sementara itu tambah sumber berkenaan, PAS juga mencadangkan nama Adun Jeneri, Muhamad Sanusi Md Nor untuk diangkat sebagai menteri besar yang baru.

"PAS Kedah mencadangkan nama beliau (Sanusi) kerana senioriti dalam parti peringkat negeri Kedah.

“Insya-Allah PAS akan menerajui Kedah dalam gabung PN negeri untuk memberi kerajan negeri yang baru," katanya.

Muhamad Sanusi Md Nor 

Sanusi ialah pengarah pilihan raya PAS merangkap ketua pembangkang Kedah.

PN Kedah akan mengadakan satu sidang media yang dijangka akan mengumumkan pembentukan kerajaan Kedah yang baru, pada hari ini.

Sidang media itu akan berlangsung pada jam tiga petang ini, di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar.

Malaysiakini sedang menghubungi pimpinan Bersatu Kedah untuk mendapatkan reaksi mereka susulan apa yang berlaku hari ini.

Kelmarin Naib Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga menteri besar Terengganu dan setiausaha agung PAS, Takiyuddin Hassan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan PAS dan Umno Kedah.

Dipercayai, pertemuan itu bagi membincangkan peralihan kuasa kerajaan negeri.

Selain Sanusi, pengerusi Umno negeri, Jamil Khir Baharom turut hadir pertemuan itu.

Rabu minggu lalu, PAS Kedah menyuarakan keyakinan untuk mengambil alih kerajaan negeri tersebut daripada PH.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS