Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Pencuri belum tangkap, mangsa pula kena siasat?’
Diterbitkan:  May 12, 2020 10:02 AM
Dikemaskini: 3:13 AM

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim mempersoalkan arahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengisytiharkan harta dalam siasatan kehilangan wang dilaporkan beliau sendiri.

"Pencuri belum ditangkap, mangsa kecurian yang melapor polis disiasat pula?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, beliau yakin Syed Saddiq telah mengisytiharkan harta memandangkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), semua anggota pentadbiran dan ahli-ahli Parlimen diwajibkan untuk mengisytiharkan harta kami masing-masing.

“Semua maklumat perisytiharan harta tersebut kemudiannya dipaparkan atas talian kepada orang awam oleh SPRM.

“Saya percaya, seperti saya, Saudara Syed Saddiq telah mengisytiharkan harta sekurang-kurangnya dua kali dalam 22 bulan pentadbiran kerajaan persekutuan Pakatan Harapan.

“Justeru, there is nothing to hide (tak ada apa nak disembunyikan), berani kerana benar!” katanya lagi.

Steven Sim 

Sim merujuk laporan portal berita yang menyatakan ketua pemuda Bersatu itu diarahkan SPRM untuk mengisytiharkan harta sebagai sebahagian siasatan kehilangan wang tunai RM250,000 di rumahnya, hujung Mac lalu.

Tambah Sim yang juga bekas timbalan Syed Saddiq di KBS, beliau tidak faham mengapa Syed Saddiq disiasat ekoran laporan yang dibuatnya sendiri, namun percaya Syed Saddiq akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Jika yang hilang itu wang haram, masakan laporan polis dibuat oleh Syed Saddiq sendiri?

“Apa yang saya khuatir ialah Saudara Syed Saddiq menjadi mangsa penganiayaan politik di kala kerajaan Perikatan Nasional menghadapi tekanan berdepan sidang Parlimen 18 Mei 2020 nanti,” katanya lagi.

‘Kenapa perlu makan rasuah, gaji dah tinggi’

Semalam juga, Syed Saddiq ada membuat satu hantaran di Facebooknya, yang menyifatkan ada pihak yang sekali lagi cuba mengaitkannya dengan rasuah seperti dakwaan sebelum ini, yang katanya, sehingga kini langsung tidak dapat dibuktikan.

Beliau membangkitkan sekali lagi penjelasan yang pernah dibuatnya dahulu, bahawa wang itu adalah milik dia dan keluarganya untuk tujuan ubah suai rumah, dan menyatakan tidak ada sebab untuknya membuat laporan polis sekiranya wang yang hilang itu adalah wang haram.

Dia juga menyatakan tidak pernah membeli kereta mewah meskipun diberikan AP semasa menjadi menteri, tiada rumah baru atau aset mahal baru dibeli, dan antara menteri pertama yang mengisytiharkan harta dahulu serta mengamalkan tender terbuka untuk semua kontrak.

Malah, katanya, dia tidak faham apa keperluan untuk menteri “makan rasuah”, sedangkan mereka menerima gaji dan elaun yang tinggi, tidak termasuk bayaran sekali beri (one off) yang diterima.

Antaranya, gaji menteri dan ahli parlimen diterima ialah RM55,000 sebulan, tidak termasuk insentif tambahan jika selalu balik ke kawasan atau menghadiri program yang jauh dari pejabat.

Juga katanya, menteri menikmati elaun sekali bayar sebanyak RM42,000 untuk pinggan dan mangkuk, RM70,000 elaun percutian tahunan, maksimumRM180 per orang- tiada had jumlah orang- untuk tuntutan elaun makan harian, dan RM10,000 elaun pindah rumah.

“Apabila diberhentikan sebagai menteri, dapat lagi one-off payment, ~RM150,000.

“Untuk kes ini, saya serahkan sepenuhnya ke pihak SPRM untuk siasat dan saya telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya sejak kes ini mula disiasat hampir dua bulan.

“Berani kerana benar,” katanya lagi.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS