Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Walau PKPB, jangan bawa anak kecil ke pusat beli-belah - Ismail

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menasihatkan orang ramai agar tidak membawa anak kecil ke pusat beli-belah untuk mengelakkan mereka daripada terdedah kepada bahaya dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata walaupun tiada sekatan sedemikian di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berkuat kuasa, namun adalah menjadi tanggungjawab keluarga untuk tidak mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya itu.

"Jangan gunakan kebebasan (PKPB) ini, akhirnya kita bahayakan nyawa keluarga kita," katanya dalam sidang media harian mengenai perintah berkenaan di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata dengan pelanjutan PKPB bermula 13 Mei hingga 9 Jun seperti diumum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam, semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) PKPB sebelum ini masih kekal berkuat kuasa.

Katanya sebarang perubahan SOP akan dimaklumkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu katanya, kadar pematuhan orang ramai terhadap peraturan PKPB adalah 95 peratus dan kerjasama berterusan rakyat Malaysia diperlukan bagi membantu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

Beliau turut berkongsi proses pengagihan 32.6 juta penutup hidung dan mulut percuma melibatkan 8.16 juta isi rumah di seluruh negara telah selesai sepenuhnya.

Katanya, setakat semalam sebanyak 228 pusat kuarantin telah beroperasi melibatkan 14,268 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS