mk-logo
Berita
'Kementerian Wilayah kuat kuasa SOP lebih ketat ketika PKPB'
Diterbitkan:  May 11, 2020 11:52 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

Annuar Musa berkata Kementerian Wilayah Persekutuan akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat susulan lanjutan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, SOP itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.

"Dari segi pihak berkuasa tempatan (PBT) ia akan dipantau oleh Pusat Pengurusan Krisis (CMC) bagi memastikan kawasan berisiko tinggi akan diberi penekanan yang lebih, antara yang kita kenal pasti ialah tapak pembinaan.

"Setakat PKPB, kita dapat mengenal pasti di tapak pembinaan berlaku beberapa kes kerana SOP di situ tidak dilaksanakan dengan sebaiknya iaitu tiada penjarakan sosial dan tidak menjaga kebersihan," katanya seperti dipetik BH Online.

Beliau berkata mana-mana tapak pembinaan dan juga restoran serta kedai makan yang didapati tidak mematuhi SOP akan diarahkan untuk menghentikan operasi.

Semalam, sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur diarahkan tutup selama 30 hari susulan penularan Covid-19 ke atas 28 pekerja asing di situ.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa PKPB akan dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun ini.

Jelasnya, keputusan itu dibuat setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS