Sidang DUN pertama Melaka untuk tahun ini tamat lebih awal daripada jangkaan, hanya setengah jam setelah ia bermula pada pukul 9.30 pagi ini.
Sidang itu berakhir setelah perbalahan antara bekas ketua menteri Idris Harun (Sungai Udang-Umno), speaker Omar Jaafar dan beberapa adun PH.
Insiden bermula ketika speaker ingin memulakan sidang dengan bacaan doa, apabila Idris bangun dan memberitahu Omar bahawa beliau tidak layak untuk berada di kerusi speaker kerana tiada sokongan majoriti ahli DUN.
Menurut seorang wartawan media kerajaan yang menyaksikan insiden itu, Idris menuduh Omar membuat keputusan menolak usul oleh Ketua Menteri Sulaiman Md Ali (Lendu-Umno) untuk menyingkirnya daripada kedudukan speaker, atas dasar kepentingan peribadi.
Untuk rekod, hanya media milik kerajaan yang dibenarkan membuat liputan sidang pagi ini, sementara wartawan dari organisasi media lain dilarang berada di ruang yang diperuntukkan kepada media untuk mengikuti perjalanan sidang.
Berdasarkan beberapa rakaman video insiden itu yang diberikan oleh timbalan speaker Dr Wong Fort Pin, tindakan Idris itu kemudian mencetuskan perbalahan dengan beberapa adun PH menggesa speaker agar mengarahkan Idris keluar dewan.
Menurut bekas ketua menteri Adly Zahari (Bukit Katil-PH), Idris juga membaling buku garis panduan sidang dun ke arah Omar ketika insiden itu.
Omar kemudian mengarahkan sidang ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.