Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
China sangkal '24 pembohongan' ahli politik AS tentang Covid-19

GLOBAL | China mengeluarkan penafian panjang lebar terhadap apa yang disifatkannya sebagai "24 dakwaan tak munasabah" oleh sejumlah ahli politik Amerika Syarikat (AS) berkenaan caranya mengendalikan wabak Covid-19.

Kementerian Luar China memutuskan untuk menumpukan kebanyakan taklimat media minggu lalu untuk menolak tuduhan yang dibuat ahli politik AS, terutama setiausaha negaranya Mike Pompeo, bahawa China menyembunyikan maklumat berkenaan virus itu dan ia berasal daripada sebuah makmal di Wuhan.

Satu artikel dengan 30 halaman disiarkan di laman web kementerian itu pada Sabtu mengulang dan menghuraikan sangkalan yang dibuat ketika taklimat media, dan dimulakan dengan memetik kata-kata Abraham Lincoln, presiden AS ke-19.

"Seperti kata-kata Lincoln, anda boleh berbohong kepada sebahagian orang setiap masa dan semua orang pada masa tertentu, tetapi anda tidak boleh berbohong kepada semua orang pada setiap masa," katanya.

Artikel itu turut memetik laporan media berkenaan warga AS yang dijangkiti virus itu sebelum kes pertama disahkan di Wuhan. Tiada bukti yang menunjukkan ia berlaku.

Dengan tujuan menyangkal kenyataan AS bahawa virus itu sengaja dicipta atau atas sebab tertentu tersebar dari Institut Virologi Wuhan, artikel itu berkata semua bukti menunjukkan virus itu bukan ciptaan manusia dan institut itu tidak mampun untuk mensistesiskan koronavirus baru.

Amaran 'tepat masanya'

Artikel itu juga memberikan garis masa tentang bagaimana China memberikan maklumat kepada masyarakat antarabangsa secara "terbuka dan telus" serta tepat pada masanya, untuk menafikan dakwaan AS bahawa ia lambat memberikan amaran.

Di sebalik jaminan China berulang kali, kerisauan berkenaan garis masa maklumatnya telah dilaporkan oleh sesetengah pihak.

Laporan oleh majalah Der Spiegel di Jerman pada Jumaat memetik agen risikan negara itu, BND yang mengatakan percubaan awal China untuk tidak mendedahkan maklumat telah menyebabkan dunia kerugian empat hingga enam minggu yang sepatutnya digunakan untuk melawan Covid-19.

Artikel itu menolak kritikan Barat berkenaan cara Beijing mengendalikan kes Li Wenliang, seorang doktor berusia 34 tahun yang cuba memberi amaran berkenaan penularan virus baru di Wuhan.

Kematiannya akibat masalah pernafasan akibat virus itu telah mencentuskan kemarahan dan kekecewaan di seluruh China.

Artikel itu berkata Li bukan seorang "pembocor maklumat" dan dia tidak pernah ditangkap, bertentangan dengan banyak laporan media di Barat.

Bagaimanapun, artikel itu tidak menyebut berkenaan tindakan polis menahan Li kerana "menyebarkan khabar angin".

Walaupun Li kemudian diangkat sebagai salah seorang "martir" di China, siasatan terhadap kesnya turut mencetuskan kritikan di internet selepas ia hanya mencadangkan kritikan terhadapnya ditarik balik.

Menolak dakwaan Pompeo dan Presiden AS Donald Trump bahawa koronavirus baru itu patut dinamakan sebagai "virus China" atau "virus Wuhan", artikel itu turut memetik dokumen daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia yang mengatakan nama suatu virus tidak seharusnya merujuk negara secara spesifik.

-Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS