Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pintu rundingan dengan PN sentiasa terbuka' - Zahid
Diterbitkan:  May 11, 2020 9:36 AM
Dikemaskini: 1:36 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata partinya bersikap terbuka dalam menilai hubungannya dengan gabungan politik Perikatan Nasional (PN) pada masa akan datang, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

"Umno ambil pendirian dan keputusan Majlis Tertinggi (MT) bahawa dokongan kita kepada PN merupakan dokongan ahli parlimen Umno kepada PN.

"Namun kita tidak pernah menutup pintu bagi perundingan kedudukan PN ini kelak.

"Kita tidak halang mana-mana parti politik untuk menjadi komponen PN," jelas beliau malam tadi.

Zahid berkata demikian pada program wawancara khas sempena ulang tahun Umno yang ke-74 anjuran Umno Online malam tadi di rumah presiden Umno.

Program yang turut disiarkan secara langsung menerusi media sosial Facebook Live itu dikendalikan oleh Noor Azizan Abdul Majid sebagai moderator.

"Tentu ada beberapa perkara yang perlu kita selesaikan," kata Zahid mengenai kerjasama Umno di dalam kerajaan PN.

"Insyallah anggota parlimen kita istiqamah bersama PN hingga titik noktah yang akan kita cari penyelesaiannya nanti."

Umno, PAS siap hadapi parlimen bubar

Moderator, Noor Azizan, turut bertanya sekiranya Umno dapat menjalin hubungan dengan Bersatu sebagaimana "Umno dan PAS bertaut" dalam Muafakat Nasional (MN), meskipun hubungan dua parti itu pernah bermusuh selama puluhan tahun lamanya.

Zahid sekali lagi menegaskan, "pintu rundingan (bersama Bersatu) sentiasa terbuka."

Mengenai hubungan Umno dengan PAS, Zahid berkata walaupun Muafakat Nasional tidak berdaftar secara rasmi bersama Pendaftar Pertubuhan namun "hubungan ruh politik Umno PAS ini tetap kukuh."

"Ini realiti baru politik tanah air. Kita berikrar MN akan kita perkasakan, perkukuhkan hingga bila-bila," katanya lagi.

Zahid turut mendedahkan ketika krisis politik pada hujung Februari lalu, Umno dan PAS sudah bersiap untuk menghadapi pembubaran parlimen.

"Kita ambil keputusan mesti ada PRU yang baru dan pembubaran harus dilakukan," katanya.

Bagaimanapun, selepas pembentukan kerajaan PN, keutamaan sekarang, kata Zahid adalah untuk "membantu kerajaan mengatasi situasi covid-19"

"Biar situasi itu akan sampai dan bila sampai ekonomi telah dipulihkan. Dan mandat baru dapat didambakan semula

"Tetapi ketika ini beri peluang kerajaan melaksanakan dan mengatasi masalah yag dihadapi terutamanya pasca covid-19.

"..jangan melakukan sesuatu yang akan menyusahkan lagi rakyat mencari mandat baru," katanya lagi.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki pada 7 Mei lalu berkata keputusan untuk mendaftarkan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi mengambil kira krisis dalaman Bersatu serta kemampuan parti itu untuk bertahan dalam PN.

Bagaimanapun beliau berkata, Umno akan tetap mempertahankan kerajaan PN sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) bagi memastikan kerajaan berpaksikan Islam dan Bumiputera ini mampu "memulihkan kerosakan" ditinggalkan Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan PH runtuh pada akhir Februari selepas Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar dari gabungan itu dan bergabung bersama sekumpulan MP PKR yang berpaling tadah diketuai oleh bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Bersama-sama pembangkang PAS, Umno, GPS dan parti kecil lain mereka menubuhkan kerajaan persekutuan PN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS