Paling Popular
Terkini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mendapatkan pandangan dan nasihat dalam menyusun tatacara Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini daripada agensi berkepentingan susulan penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Agensi yang terbabit dalam libat urus itu ialah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata pihaknya telah mengadakan mesyuarat dengan agensi berkenaan Jumaat lepas yang membincangkan beberapa perkara sekiranya tarikh PRK itu masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sudah tentu kalau hari mengundi ketika PKPB berkuat kuasa, maka Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan seperti penjarakan sosial, memakai penutup hidung dan mulut, menggunakan cecair pembasmi kuman, memeriksa suhu badan dan sebagainya akan dilakukan.

"Itu adalah langkah-langkah yang akan dibuat… SPR akan terus lakukan libat urus dengan pihak-pihak berkenaan sehinggalah tarikh PRK itu hampir dan waktu itu, kita akan muktamadkan tatacara PRK tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Mengenai keadaan DUN Chini yang ketika ini berada dalam Zon Hijau, Azhar berkata pihaknya akan mempertimbangkan banyak perkara berhubung keselamatan dan kesihatan dalam mengendalikan PRK kali ini.

Beliau berharap kawasan itu akan terus kekal sebagai zon hijau dan tiada sebarang jangkitan Covid-19 sehingga berakhirnya PRK.

“Kita tidak mahu zon hijau itu dicemarkan menjadi zon merah oleh kerana pilihan raya kecil," katanya.

DUN Chini kosong berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Abu Bakar Harun, 60, (gambar, bawah) dari Barisan Nasional di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada Khamis 7 Mei.

Notis kekosongan DUN itu diserahkan Speaker DUN Pahang Ishak Muhammad kepada SPR pada Jumaat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini, yang berada di bawah Parlimen Pekan, dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi dan calon PKR Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.

- Bernama


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS