Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Raja Salman sumbang 20,000 pek iftar untuk barisan depan, asnaf

Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud menyumbangkan sehingga 20,000 bungkus juadah berbuka puasa untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan dan golongan asnaf di negara ini.

Pengerusi Ilmuan Malaysia, Ahmad Tajuddin Idris, berkata program "Iftar Khadim Al-Haramain Al-Sharifain" itu adalah sumbangan peribadi Raja Salman.

Beliau yang mewakili pihak kedutaan Arab Saudi memaklumkan pihaknya ditugaskan untuk menguruskan pengagihan sumbangan berkenaan.

"Kita akan mengagihkan kira-kira 15 sehingga 20,000 agihan juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan Covid-19 dan juga asnaf.

"Ia adalah sumbangan peribadi Raja Salman kepada kumpulan sasar ini dan sehingga kini kita sudah mengagihkan hampir separuh.

"Agihan dibuat setakat hari ini di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui Malaysiakini, hari ini.

Jelasnya, ia merupakan program tahunan Raja Salman pada setiap kali tibanya musim Ramadan.

Terdahulu, Ahmad Tajuddin (Gambar dua dari kiri) hadir ke pejabat Malaysiakini bagi menghantar sumbangan berbuka puasa kepada wartawan yang bertugas.

Katanya, pihaknya turut mengagihkan sumbangan kepada pihak media yang juga petugas barisan hadapan ketika penularan wabak Covid-19.

Tambah Ahmad Tajuddin peranan media juga cukup penting dalam menyalurkan maklumat berkenaan penularan wabak itu bagi panduan masyarakat.

"Hari ini kita mengagihkan kira-kira 500 pek juadah iftar kepada wartawan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS