Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tesco Malaysia menghentikan bekalan ayam dari sebuah kilang di Pedas, Negeri Sembilan selepas kluster Covid-19 melibatkan lebih 60 pekerja di kilang berkenaan dikenal pasti.

Dalam satu kenyataan, jurucakap Tesco Malaysia memberitahu Malaysiakini, rangkaian pasar raya itu mempunyai bekalan ayam mencukupi sepanjang Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

"Kami dimaklumkan (oleh pembekal) mengenai kes-kes yang disahkan pada 6 Mei, dan sebagai langkah pencegahan, kami telah segera hentikan bekalan dari kilang di Pedas Linggi itu sehingga diberitahu kelak.

"Kami akan terus mendapatkan bekalan ayam daripada pembekal kami yang lain untuk memastikan stok mencukupi untuk pelanggan sepanjang tempoh Ramadan ini dan hari raya yang akan datang," kata jurucakap itu.

Syarikat itu juga memberi jaminan tiada kontak rapat antara kakitangan Tesco dan pekerja kilang berkenaan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

"Keutamaan kami ialah melindungi kesihatan dan keselamatan kakitangan dan pelanggan dengan memastikan semua langkah penjarakan sosial di sepanjang rantaian bekalan.

"Kami memantau kesihatan kakitangan dan akan terus mendapatkan panduan dari Kementerian Kesihatan berhubung perkara ini," kata Tesco Malaysia.

Kilang ayam tersebut merupakan salah satu daripada tiga premis yang diarahkan tutup bagi membolehkan pemeriksaan kesihatan dan kerja-kerja sanitasi dilakukan selepas pekerjanya disahkan positif Covid-19.

Kilang itu merekodkan lebih 60 kes jangkitan, yang mana 52 daripadanya dikesan sepanjang tempoh 24 jam sehingga tengah hari 8 Mei.

Keputusan terhadap 440 ujian lagi masih belum diketahui manakala punca jangkitan masih dalam siasatan.

Selain kilang berkenaan, dua lagi premis ditutup iaitu sebuah pusat membeli-belah di Cheras selepas pengawal keselamatannya dijangkiti Covid-19 dan sebuah tapak pembinaan di Ampang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS