Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun ini.
Jelasnya, keputusan itu dibuat setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Walaupun kita telah mencapai banyak perkembangan positif dalam usaha
memerangi wabak COVID 19, usaha kita masih belum berjaya
sepenuhnya.
"Langkah-langkah masih perlu diambil untuk memerangi
wabak ini. Dari segi pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat
mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar
untuk memerangi wabak ini.
"Justeru, atas nasihat KKM dan MKN, saya ingin mengumumkan PKPB yang berkuat kuasa sehingga 12 Mei
2020, akan disambung lagi sehingga 9 Jun 2020, iaitu selama 4 minggu
lagi," katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.
Tambah Muhyiddin, semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan
sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuat kuasa
sehingga 9 Jun.
"Sebarang perubahan mengenai peraturan, SOP atau senarai sektor yang dibenarkan beroperasi akan dimaklumkan dari masa ke semasa," katanya.
Muhyiddin berkata, pelaksanaan PKPB yang bermula pada 4 Mei yang lalu berjalan dengan lancar dan teratur.
"Tidak berlaku kesesakan luar jangka di stesen-stesen pengangkutan awam, di dalam LRT, MRT, bas, restoran dan lain-lain.
"Nampaknya, rata-rata rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.
Kerajaan mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu bagi menangani penularan Covid-19, yang menyaksikan sektor ekonomi terhenti dan orang ramai tidak dibenarkan meninggalkan rumah tanpa alasan munasabah.
Susulan penurunan kes Covid-19 baru-baru ini, kerajaan kemudian menguatkuasakan PKPB pada 4 Mei lalu, yang membenarkan hampir semua sektor ekonomi dibuka semula.
Dalam ucapannya hari ini, Muhyiddin juga berkongsi tentang kajian yang dilakukan oleh sebuah agensi penyelidikan yang berpangkalan di Singapura.
Kata Muhyiddin, berdasarkan kajian agensi itu, Malaysia berada di tangga ke empat daripada 105 buah negara dari segi tahap kepuasan hati rakyat terhadap usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.
"Jadi, sekali lagi saya nak mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua petugas barisan hadapan kita yang telah banyak berkorban sepanjang tempoh dua tiga bulan ini untuk memastikan semua rakyat Malaysia terselamat daripada wabak Covid-19.
"Saya juga nak merakamkan ucapan terima kasih kepada saudara-saudari sekalian seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah yang sentiasa berdisiplin mematuhi arahan PKP dan PKPB sehingga memudahkan para petugas barisan hadapan kita menangani krisis ini," katanya.