mk-logo
Berita
Zahid saran BPN diperluas pada peniaga kecil bawah SSM
Diterbitkan:  May 10, 2020 10:15 AM
Dikemaskini: 2:15 AM

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyarankan kerajaan supaya memperluaskan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) merangkumi peniaga kecil yang mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Zahid berkata, beliau khuatir jika individu yang pernah mendaftar perniagaan sebelum ini sudah tidak lagi aktif berniaga dan akhirnya tercicir daripada menerima bantuan kerajaan itu.

"Kekhuatiran saya adalah bagi pemohon BPN yang satu ketika dulu pernah mendaftar perniagaan dengan SSM tapi kini mereka sudah tidak lagi aktif berniaga.

"Mungkin sekarang mereka sudah kembali menjadi pekerja ataupun bekerja sendiri dengan pendapatan yang tak seberapa.

"Lebih malang lagi jika perniagaan yang cuba mereka ceburi mengalami kerugian dan kini tidak punya sumber pendapatan sama sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod mereka yang mendaftar perniagaan dengan SSM secara automatik tidak layak untuk mendapat BPN.

Sebaliknya mereka perlu memohon Geran Khas Prihatin (GKP). Bantuan yang diberikan melalui GKP ini adalah berjumlah RM3,000.

Namun, ada beberapa kriteria yang perlu dipenuhi untuk seseorang itu memohon GKP antaranya adalah jumlah jualan atau perolehan tahunan perniagaan kurang daripada RM300,000 dan masih aktif menjalankan perniagaan semasa permohonan dibuat.

Pada 27 Mac lalu, ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatian Rakyat (Prihatin), Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan BPN.

Melalui BPN kerajaan menyalurkan bantuan dalam bentuk one off atau sekali bayar kepada kumpulan B40 dan M40.

Semalam, sebanyak 2.3 juta lagi permohonan baru dan rayuan BPN telah diluluskan, melibatkan jumlah sebanyak RM1.7 bilion, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata kelulusan itu dibuat selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) selesai membuat semakan ke atas permohonan baru dan rayuan ini.

Dalam pada itu, Zahid berkata alasan yang digunakan sebelum ini sekiranya seseorang itu mempunyai syarikat yang berdaftar dgn SSM, secara automatik tidak layak untuk mendapat bantuan tunai BSH, BPN dan sebagainya tidak tepat.

Ini kerana katanya, di negara ini terdapat ramai individu berniaga pada skala kecil, ramai juga yang mengambil gaji bulanan sedikit saja dari syarikat mereka dan keuntungan syarikat yang diaudit dilaporkan ke LHDN juga menunjukkan keuntungan yang sangat.

"Saya berpandangan, sekiranya jumlah pendapatan tahunan mereka layak sebagai penerima bantuan (dari dividen syarikat dan gaji bulanan yang diambil), maka kerajaan seharusnya tetap memberi bantuan tunai kepada mereka menerusi BPN.

"Sekiranya ini dilaksanakan, pada hemat saya, secara tak lansung kerajaan dapat galakkan rakyat untuk melaporkan pendapatan secara telus dan jujur pada masa akan datang.

"Justeru, saranan saya adalah kerajaan perlu memperluaskan bantuan BPN kepada golongan ini agar tujuan pakej rangsangan ekonomi yang dirangka kerajaan mencapai objektifnya," kata Zahid lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS