Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Untuk menang 'perang' Covid-19, jangan tangkap golongan berisiko

ULASAN | Dalam keadaan yang bertentangan dengan pendirian sebelum ini, kerajaan pada minggu lepas telah mengumumkan kesemua pendatang asing tanpa izin yang dikenal pasti ketika perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan terus dihantar ke pusat tahanan.

Pengumuman ini disertai dengan peraturan baru yang mewajibkan kesemua pekerja asing di semua sektor menjalani saringan Covid-19 yang menjadikannya satu tindakan yang tidak produktif dan akan mendatangkan akibat yang serius.

Sebelum ini, keperluan mandatori bagi ujian dan saringan mungkin langkah positif dalam memastikan individu yang berisiko untuk disaring, tetapi kini pekerja tanpa dokumen yang sah akan terperangkap antara dua pilihan yang sukar – sama ada berisiko untuk ditahan akibat tidak menjalani saringan, atau mereka akan ditahan kerana tiada dokumen.

Wanita dan kanak-kanak daripada golongan pendatang asing dan pelarian berhadapan dengan risiko yang lebih besar daripada keganasan berasaskan gender serta kekurangan kemudahan yang lengkap di pusat tahanan.

Respon awal Malaysia ke atas penularan pandemik ini telah menggariskan dengan strategik mengenai penekanan kritikal kepada keperluan untuk mengenal pasti individu yang dijangkiti Covid-19, tanpa mengira status perundangan. Pandatang asing tanpa izin dan pelarian digalakkan untuk menjalani saringan dan rawatan tanpa perlu rasa takut untuk ditahan.

Dengan perubahan pendekatan yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, pendatang asing tanpa izin dan pelarian akan lebih takut untuk tampil kehadapan dan menjalani saringan.

Dengan mengutamakan dasar yang mengaitkan penularan utama virus kepada populasi pelarian dan pendatang asing, kerajaan hanya akan mewujudkan keadaan ketakutan di kalangan mereka yang paling berisiko untuk terjangkit.

Ancaman operasi besar-besaran dan penahanan – yang mana wanita mengandung dan juga kanak-kanak juga tidak dikecualikan - akan menghalang individu yang tidak mempunyai dokumen sah di kawasan-kawasan lain daripada tampil ke hadapan untuk menjalani saringan lantas akan melambatkan pengesanan kes-kes baru.

Contohnya, pada minggu ini sahaja terdapat pekerja asing yang melarikan diri dari kurantin atau ujian swab yang menunjukkan bagaimana keadaan ketakutan ini telah mewujudkan keadaan tidak produktif dan membahayakan kepada mereka yang telah dijangkiti virus, dan juga sesiapa sahaja yang mungkin akan bersentuhan dengan mereka.

Langkah mengkuarantinkan sebilangan besar kumpulan di pusat tahanan yang sesak akan menggunakan sumber kerajaan lantas menyukarkan langkah-langkah penjarakan sosial dan menyulitkan akses kepada perubatan, air dan juga kemudahan kebersihan. Namun, tanpa langkah pencegahan dan kemudahan-kemudahan ini, ianya akan mencabuli hak asasi manusia para tahanan.

Wanita dan kanak-kanak perempuan terutama berisiko tinggi untuk berhadapan dengan keganasan seksual dan keganasan berasaskan gender di pusat-pusat tahanan yang sesak.

Mereka juga akan terdedah kepada bermacam-macam bentuk pencabulan hak asasi seperti kurangnya kebersihan asas, dan kekurangan makanan, air dan bantuan perubatan; kes-kes ini selalunya terjadi kepada wanita hamil, wanita yang menyusukan anak, dan wanita yang datang bulan.

Diskriminasi terhadap warga asing dan pelarian

Singapura telah dilabelkan oleh media barat sebagai negara yang telah hilang kawalan ke atas penularan virus dengan kegagalannya untuk melindungi pekerja asing. Walaupun mengetahui perkembangan ini, respon semasa oleh pihak berkuasa di Malaysia dalam menangani penularan virus dalam kalangan kumpulan pelarian dan pendatang asing adalah dengan bertindak tegas dan menggunakan undang-undang untuk menindas dan menahan.

Pelarian adalah kumpulan manusia yang dikategorikan di bawah undang-undang antarabangsa, berdasarkan keperluan mereka untuk meninggalkan negara asal untuk menyelamatkan diri daripada bahaya.

Perbezaan untama antara pelarian dan pendatang asing adalah, tidak seperti pelarian, pendatang asing boleh kembali ke negara asal mereka tanpa ada rasa takut untuk menghadapi sebarang ancaman atau keganasan yang boleh menyebabkan mereka didakwa.

Persamaan antara kedua-dua pelarian dan pendatang asing adalah, walaupun mereka berhadapan dengan tuduhan jenayah, pencabulan hak asasi manusia, eksploitasi, dan juga sebarang ancaman daripada mana-mana pihak tempatan. Berdasarkan layanan terhadap mereka, golongan ini adalah kumpulan berisiko untuk menyebarkan Covid-19.

Pekerja asing yang ramai dan murah yang dibawa oleh majikan-majikan di Malaysia untuk meningkatkan produktiviti ekonomi dan perkhidmatan perbandaran dan gaya hidup kosmopolitan warga Malaysia telah ditempatkan di kemudahan yang sesak dengan gaji yang rendah.

Kebanyakan mereka tidak disediakan dokumen yang mencukupi oleh para majikan, tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan, serta tidak diberikan peralatan keselamatan dan kesihatan yang secukupnya ketika menjalankan tugas yang sukar dan berbahaya. Pendatang asing tanpa izin kebiasaannya dieksploitasi oleh majikan tempatan dengan dibayar gaji di bawah gaji minimum atau gaji mereka akan ditahan.

Pelarian pula merupakan antara golongan yang sangat tidak bernasib baik dalam masyarakat yang terpaksa menderita atas tekanan daripada dasar kerajaan yangmengecualikan mereka daripada diiktiraf oleh sebarang bentuk perundangan.

Pengecualian ini telah mengakibatkan mereka terpaksa memilih ekonomi tidak formal sebgai mata pencarian, yang menjadikan mereka sasaran mudah kepada sebarang bentuk penganiayaan oleh para majikan dan mana-mana kumpulan yang mempolitikkan kehadiran mereka melalui kebencian dan ancaman.

Dalam usaha untuk menangani pandemik yang berlaku ini secara komprehensif, serta untuk menangani isu yang lebih besar berkenaan layanan terhadap pendatang asing dan pelarian di Malaysia yang semakin memburuk disebabkan penularan Covid-19, kita harus menggunakan pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ dalam mencari solusi yang boleh diguna pakai.

Penyelesaian: Pendekatan keseluruhan

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan penggunaan pendekatan keseluruhan masyarakat dan keseluruhan kerajaan untuk mengelakkan penularan Covid-19.

Pendekatan ini menggalakkan penglibatan aktif antara agensi kerajaan utama, syarikat-syarikat, organisasi bukan kerajaan, komuniti, dan keluarga untuk membentuk pelan kesiapsiagaan dan respons ke atas pandemik skala nasional. Pengurusan pandemik yang berjaya turut memerlukan kerjasama global dan tempatan, yang mana negara-negara terkesan boleh berkongsi maklumat dan membantu satu sama lain.

Pelaksanaan pantas pendekatan keseluruhan kerajaan dan kerjasama antarabangsa oleh kerajaan Malaysia dalam menangani pandemik telah berjaya membuahkan hasil yang positif.

Kaedah kesiapsiagaan komprehensif dan perancangan harus diteruskan bersama-sama dengan pendekatan keseluruhan masyarakat, dan dilihat oleh kerajaan sebgai model pengurusan yang terhubung dalam memberi respon kepada isu-isu global yang serupa berkenaan dengan pemuliharaan kehidupan manusia, seperti krisis pelarian.

Maka, kami menyeru kerajaan untuk mengambil tindakan penting dalam menilai semula dasar semasa yang berisiko untuk mengembalikan semula perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kerajaan harus menjalankan langkah-langkah yang akan menggalakkan individu yang tidak mempunyai dokumen yang sah di mana-mana kawasan untuk tampil kehadapan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan:

1. Mewujudkan jawatankuasa dari pihak-pihak berkepentingan dengan menggunakan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat untuk mewujudkan dasar nasional yang komprehensif dan rangka kerja tadbir urus bagi pelarian dan pendatang asing dalam negara, dengan komponen khusus berkaitan Covid-19.

Kerajaan harus mengutamakan tindakan ini, dengan menyelaraskan organisasi yang diperlukan serta perubahan-perubahan struktur sebelum pandemik seterusnya menyerang.

2. Menguatkuasakan semula dasar awal kerajaan bagi akses penjagaan kesihatan kepada semua individu yang tidak mempunyai dokumen sah dengan menghentikan ancaman penangkapan dengan tidak lagi menyerbu kawasan yang didiami oleh pendatang asing dan pelarian; meningkatkan akses penjagaan kesihatan kepada individu yang tidak mempunyai dokumen sah, terutama wanita dan kanak-kanak yang memerlukan; menghasilkan bahan bacaan yang mencukupi dalam bahasa-bahasa asing untuk mendidik populasi yang tidak mempunyai dokumen sah mengenai tabiat harian untuk mengelakkan jangkitan virus; dan memastikan keselamatan dan rawatan sewajarnya kepada pendatang asing dan pelarian sebagai sebahagian daripada pelan respons untuk menangani Covid-19.

3. Mengambil pendirian tegas terhadap rasisme, xenofobia, dan diskriminasi melibatkan pendatang asing dan pelarian, termasuklah laporan dan amalan eksploitasi dengan menyiasat kesemua insiden yang dilaporkan; mengumumkan tindakan tegas ke atas individu atau kumpulan yang bertanggungjawab; dan memberi perlindungan kepada individu yang terkesan.

4. Memastikan para majikan kepada pekerja asing di Malaysia mengambil langkah untuk mewujudkan persekitaran kerja dan kehidupan yang mematuhi protokol bagi

menghentikan penularan virus; menyediakan gaji, makanan dan perlindungan kesihatan yang sewajarnya; dan menempatkan pekerja yang dijangkiti di kemudahan kuarantin yang sesuai.

Rangka kerja komprehensif dan saranan-saranan yang ini akan menjadikan Malaysia lebih selamat dan inklusif.


PERTUBUHAN PERTOLONGAN WANITA (WAO) adalah NGO hak asasi manusia yang antara lain telah menyediakan tempat perlindungan, kaunseling, dan bantuan krisis percuma kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan, sejak 1982.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS