Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tempoh penjelasan' beberapa hari awal PKPB di Pahang

Kerajaan Negeri Pahang memberikan 'tempoh penjelasan' untuk beberapa hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu, yang bermula hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dr Sallehuddin Ishak berkata untuk tempoh dua hari, pasukan penguat kuasa pematuhan PKPB akan memantau dan memberi penjelasan berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang wajib dipatuhi premis yang ingin beroperasi.

"Kita sudah minta pasukan ini, yang turut disertai pihak berkuasa tempatan (PBT), untuk pergi ke sebanyak mungkin premis perniagaan di bawah pentadbiran mereka bagi mendapatkan maklum balas dan memberi penjelasan kepada peniaga.

"Kita sedar PKPB adalah perkara baru yang tidak pernah dilalui sebelum ini dan sudah pasti ada beberapa perkara yang tidak jelas di pihak mereka. Lebih baik mereka mendapat penerangan daripada pihak yang tepat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memantau perniagaan dan perusahaan yang dibenarkan beroperasi di bawah PKPB di kawasan perindustrian Gebeng, pasar raya dan sebuah kelab golf di Kuantan hari ini.

Sallehuddin mengingatkan peniaga dan pemain industri bahawa tindakan tegas, termasuk menutup premis, akan diambil jika terdapat pelanggaran SOP yang ditetapkan kerajaan negeri selepas tamat 'tempoh penjelasan.'

"Kita bukan hendak berlaku kejam kepada peniaga namun tindakan menutup premis yang gagal mematuhi SOP perlu dilakukan kerana keutamaan kerajaan negeri ialah keselamatan orang awam dan tidak mahu ada penularan baharu wabak Covid-19 di Pahang," katanya.

Mengulas SOP PKPB di Pahang yang mewajibkan penggunaan penutup mulut dan hidung di premis yang beroperasi walaupun perkara itu tidak diwajibkan oleh kerajaan Persekutuan, beliau berkata ia adalah langkah tambahan dalam aspek keselamatan.

Sallehuddin berkata tindakan itu juga bukan bermaksud mahu menyukarkan rakyat namun lebih baik diamalkan semua individu sebagai langkah keselamatan bagi mengelak jangkitan Covid-19 memandangkan mereka akan berada di tempat terbuka dan premis untuk tempoh tertentu.

"Ini sama seperti tindakan kita memeriksa lori yang melalui sekatan jalan raya kerana tidak mahu kejadian penularan wabak dari pasar borong negeri lain yang dijadikan lokasi mengambil bahan mentah seperti yang berlaku sebelum ini berulang.

"Jika disahkan terdapat kes positif di pasar borong terlibat, kita mudah mengesan mereka yang mempunyai sejarah ke situ dan saringan boleh dilakukan segera sekali gus mengelakkan jangkitan kepada lebih ramai penduduk Pahang," katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS