Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ismail perincikan agihan RM40 juta tabung Covid-19
Diterbitkan:  May 9, 2020 3:14 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

Tabung Covid-19 yang dilancarkan kerajaan berjaya mengumpul RM40,298,699.49 dan sebahagiannya telah disalurkan kepada rakyat Malaysia yang terjejas bagi bantuan perubatan dan kewangan.

Menteri Kanan Ismail Sabri hari ini mengumumkan bahawa sebanyak RM25,229,105.44 (62 peratus) daripada jumlah itu telah disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Yayasan Kebajikan Negara.

Sebanyak RM355,000 pula diberikan kepada 71 waris melalui Bantuan Ihsan Kematian, dengan setiap waris menerima RM5,000.

Melalui Bantuan Khas Hilang Pendapatan pula, sebanyak RM125,700 telah diberikan kepada 94 rakyat Malaysia.

Jelas Ismail, melalui bantuan itu setiap rakyat Malaysia yang telah dirawat kerana positif Covid-19 atau kontak rapat kepada pesakit akan diberi RM100 sehari bagi 14 hari tempoh kuarantin.

Bantuan Khas Hilang pendapatan ditujukan buat warganegara Malaysia yang memenuhi dua kriteria.

Kriteria pertama adalah individu yang bekerja tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dikenakan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian yang diarah kuarantin.

Kriteria kedua pula individu yang bekerja tetapi telah kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh menjalani rawatan di wad hospital ekoran Covid-19.

Tabung Covid-19 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 10 Mac dan berlangsung sehingga 7 Mei.

SOP taska tak lama lagi

Sementara itu, Ismail berkata prosedur operasi standard (SOP) yang "lebih terperinci" akan dikeluarkan, susulan kebimbangan Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan pembukaan semula taska berisiko menularkan Covid-19.

"KKM akan mengeluarkan taska (dan) akan berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk SOP yang lebih terperinci," katanya.

Berkenaan sembahyang berjemaah di masjid pula, beliau berkata keputusan akan diumumkan sebaik sahaja Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kabinet mencapai persetujuan.

Ismail juga ditanya berkenaan laporan bahawa terdapat rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah menyebabkan kerosakan di bilik hotel tempat mereka dikuarantin.

"Siapa pun mereka (tetap) tertakluk kepada peraturan dan undang-undang. Jika mereka melanggar peraturan hotel...hotel mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS