Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sektor ekonomi lain perlu diberi peluang buka semula'

Sektor-sektor ekonomi yang tidak tersenarai untuk beroperasi di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) perlu diberi peluang untuk dibuka semula termasuk perkhidmatan gunting rambut, kata pakar ekonomi Prof Barjoyai Bardai.

Namun, beliau berkata pembukaan semula bagi sektor ekonomi yang lain perlu dijalankan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kita sepatutnya memberi peluang kepada semua sektor, semua kedai, semua jenis perniagaan dibuka, termasuklah kedai gunting. Cuma kita perlu sediakan garis panduan yang ketat.

“Maknanya, selepas ini kita tidak akan mengawal keadaan dengan kawalan pergerakan lagi, tapi dengan peraturan yang ketat untuk setiap jenis perniagaan dan ini boleh dikawal melalui satu kawalan yang lebih rapi tapi informal," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, premis atau operasi perniagaan yang gagal mematuhi SOP seperti penjarakan sosial wajar untuk ditutup bagi mengelakkan penyebaran Covid-19.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keperluan sektor ekonomi lain yang tidak tersenarai untuk beroperasi sewaktu PKPB.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) ingin melihat kesan PKPB dahulu sebelum memberi nasihat kepada kerajaan berkenaan membuka semula lebih banyak sektor ekonomi.

Ini memandangkan KKM sedang memantau situasi dan berharap dapat membuat jangkaan dalam masa dua minggu.

Untuk rekod, bulan lalu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri meluluskan operasi semula kedai gunting rambut tetapi keputusan itu ditarik balik ekoran bantahan pelbagai pihak.

Mengulas mengenai situasi ekonomi selepas kerajaan menguatkuasakan PKPB sejak 4 Mei lalu, Barjoyai melihat terdapat sentimen yang positif oleh peniaga meskipun pengguna masih dilihat berhati-hati dalam melakukan pembelian seperti di pasar borong.

Ekonomi takkan kembali normal

Mengulas lanjut, Barjoyai yang juga pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak, menggambarkan keadaan ekonomi tidak akan kembali normal dan negara perlu bersiap sedia menyaksikan kerugian beberapa sektor.

“Kita memang akan lihat misalnya sektor perhotelan, pelancongan dan pengangkutan udara akan terus rugi.

“Kemungkinan sektor ini akan hilang dan akan muncul satu sektor baru menggantikan sektor mereka,” katanya.

Namun, bagi sektor lain seperti perkilangan, perladangan dan pembinaan dijangka mengalami perubahan dengan pengurangan jumlah pekerja, terutamanya kebergantungan terhadap pekerja warga asing, dan menggantikannya dengan teknologi.

“Sebab pekerja asing tak boleh masuk dan pekerja asing yang ada dalam Malaysia pun banyak yang tidak ada permit.

“Jadi mereka (pemain industri) tidak boleh bergantung lagi kepada pekerja asing,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan syarikat sedang memikirkan cara untuk mengurangkan kos berikutan kerugian yang dialami daripada krisis Covid-19, di mana salah satu caranya menggunakan keupayaan robotik.

“Cuma selama ini kita tidak memikirkan bahawa adalah perlu untuk berubah kepada robot kerana pelaburannya yang agak tinggi pada awalnya.

“Tapi kalau difikirkan kalau terus menggaji pekerja-pekerja asing dan kalau berlaku lagi misalnya gelombang kedua yang lebih besar, kalau ada robot, dia (syarikat) boleh terus beroperasi tanpa manusia,” katanya.

Majikan keliru dengan PKPB

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, walaupun langkah kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara melalui PKPB harus diberikan pujian, tetapi banyak majikan kecil keliru dengan pelaksanaan tersebut.

“Kebanyakan majikan-majikan kecil keliru dengan apa yang berlaku di bawah PKPB terutamanya bila ada sesetengah kerajaan negeri yang menyatakan  tidak bersedia untuk menerima dan melaksanakan PKPB yang diumumkan oleh kerajaan,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada masa sama, Shamsuddin berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKPB adalah suatu norma baru dan kerajaan, majikan serta pekerja perlulah bersama-sama menghadapi situasi ini.

“Pekerja hendaklah bersedia mengurangkan gaji dan faedah pekerjaan untuk membantu mengekalkan pekerjaan mereka.

“Pada masa ini, jika pekerja di berhentikan memang terlalu sukar untuk mereka mendapat pekerjaan baru,” katanya.

Namun, beliau berpendapat, amat perlu bagi sektor yang tidak tersenarai dalam PKPB beroperasi dengan kadar segera berdasarkan SOP sedia ada bagi membendung penularan Covid-19.

“Semakin lama syarikat tidak beroperasi, akan menyukarkan bukan sahaja majikan tetapi juga pekerja. Majikan tidak akan berupaya membayar gaji jika tidak ada pendapatan semasa PKPB,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS