Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke bandingkan pengerusi Prasarana di bawah PH dan PN
Diterbitkan:  May 9, 2020 9:45 AM
Dikemaskini: 1:45 AM

Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke membuat perbandingan antara individu yang dilantik menerajui Prasarana di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan yang dilantik di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Loke yang juga ahli parlimen DAP membuat perbandingan itu selepas Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman semalam mengesahkan menerima surat pelantikan sebagai pengerusi Prasarana yang baru.

"Saya memaparkan sedikit maklumat latar belakang pengerusi yang dilantik sebelum ini dan pengerusi yang baru dilantik.

"Terpulanglah kepada penguna-pengguna pengangkutan awam dan stakeholders (pemegang taruh) yang terlibat untuk membuat kesimpulan masing-masing," kata Loke di Facebook semalam.

Dalam kenyataan itu, Loke membandingkan Tajuddin dengan bekas Hakim Besar Malaya Zaharah Ibrahim yang dilantik menerajui Prasarana ketika di bawah pentadbiran PH.

Perbandingan itu menyorot pemecatan Tajuddin oleh Majlis Tertinggi Umno pada 1995 berhubung dakwaan terlibat dalam politik wang RM6 juta untuk jawatan ketua bahagian Pasir Salak (yang ketika itu dipegang oleh Rali Ngah Talin, yang juga menteri besar Perak pada masa itu).

Tajuddin diterima semula dalam Umno pada 1998, menurut perbandingan berkenaan.

Sementara Zaharah, dipaparkan dalam perbandingan itu sebagai "tidak pernah mewakili mana-mana parti politik".

Zaharah juga dinyatakan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan yang menduduki tangga ketiga paling kanan selepas Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Dalam kenyataan sama, Loke mengingatkan bahawa Prasarana merupakan syarikat operasi pengangkutan awam milik kerajaan yang paling besar dan penting dalam negara kita.

"Semua operasi MRT, LRT, Monorel dan perkhidmatan bas Rapid adalah di bawah Prasarana.

"Pengerusi yang dilantik untuk menerajui syarikat ini mesti mempunyai kredibiliti dan integriti yang tinggi," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS