mk-logo
Berita
'Kekalkan jawatankuasa pilihan khas parlimen sedia ada'
Diterbitkan:  May 8, 2020 11:26 PM
Dikemaskini: 3:26 PM

Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengekalkan jawatankuasa pilihan khas parlimen sedia ada untuk menegakkan demokrasi di negara ini.

Ini selepas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan awal hari ini berkata salah satu daripada empat usul yang dicadangkan oleh kerajaan pada sidang Parlimen 18 Mei ini adalah untuk melantik jawatankuasa yang "akan ditugaskan untuk menggantikan jawatankuasa pilihan khas parlimen sedia ada" .

"Di bawah kerajaan Pakatan Harapan, jawatankuasa pilihan parliman telah dihidupkan semula dan telah membuat banyak usaha demokrasi untuk memperkasakan anggota parlimen bagi terlibat sepenuhnya dengan dasar nasional dan penggubalan undang-undang.

"Tanpa semangat dan peranan jawatankuasa pilihan sebagai 'pemerhati', PN melanggar proses membina demokrasi dan mencalarkan dewan yang mulia ini," kata Maria dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa ini, terdapat 11 jawatankuasa pilihan parlimen termasuk Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dengan topik yang memberi tumpuan kepada sains dan inovasi, perdagangan dan hubungan antarabangsa, hak asasi manusia, kesaksamaan gender, pelantikan awam dan perbelanjaan kerajaan.

Maria berkata, jika semua isu berkenaan digabungkan di bawah satu jawatankuasa khas, isu-isu penting pasti akan disenyapkan.

Selain itu beliau juga mempersoalkan persidangan parlimen yang hanya diadakan selama sehari dengan mengatakan negara ini memiliki teknologi untuk mengadakan sidang parlimen secara maya melalui persidangan video.

Menyuarakan kritikan banyak pihak, beliau berkata negara-negara seperti Kanada dan United Kingdom sudah menggunakan teknologi sedemikian untuk mengadakan sesi parlimen secara maya.

Selain itu, parlimen di negara lain juga menggunakan kaedah lain untuk memastikan sidang parlimen diteruskan semasa wabak Covid-19.

Beliau berkata, ini termasuklah mengurangkan jumlah anggota Parlimen yang hadir dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti memeriksa suhu badan mereka.

[Baca berita penuh]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS