Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM jumpa PN Johor, ketua Bersatu negeri kata masalah 'selesai'

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) Johor di Putrajaya.

Menurut Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang masalah yang wujud antara parti itu dan Umno telah berjaya diselesaikan.

"Dah selesai," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut sumber, selain Mazlan, pemimpin yang hadir dalam pertemuan itu termasuklah Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad dan dua bekas penyandangnya, Osman Sapian dan Sahruddin Jamal.

Selain itu ia turut dihadiri Samsol Bari Jamali dari Umno.

Pertemuan pada tengah hari itu dikatakan berlangsung selama sejam.

Bersatu sebelum ini mendakwa Umno meminggirkan mereka dalam soal pelantikan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan tempatan.

Mazlan berkata, beberapa perkara seperti isu pelantikan ahli majlis merupakan salah faham kerana ahli majlis dari Bersatu tetap dikekalkan jawatan mereka apabila PN mengambil alih kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH).

"Bila ahli majlis Umno angkat sumpah adalah yang buat cerita," katanya.

Difahamkan Bersatu meminta 40 peratus kerusi majlis tempatan dan perkara itu akan dipenuhi.

Malaysiakini telah menghubungi Hasni untuk mendapatkan respons daripada Umno sendiri.

Sementara itu, satu lagi sumber daripada Bersatu berkata, menteri besar mesti mencari penyelesaian menang-menang bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri di Johor.

Sumber itu menambah, rasa tidak puas hati terhadap situasi politik di Johor itu berpunca daripada akar umbi dan bukanlah agenda pemimpin-pemimpin tertentu.

Ditanya sama ada perkara itu boleh diselesaikan menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri pada 14 Mei ini, Mazlan berkata ia bukan "ia bukanlah masalah besar sangat".

Ketegangan antara Bersatu dan Umno di Johor menggugat kestabilan politik di negeri itu sehingga timbul cakap-cakap akan berlakunya pilihan raya negeri.

PN memiliki hanya 29 kerusi DUN di Johor berbanding 27 daripada PH. Sekiranya ada Adun PH melompat parti, ini akan menyebabkan DUN tergantung. 

Selain ketegangan antara parti,  Bersatu sendiri berdepan konflik antara penyokong Muhyiddin dan kumpulan yang menyokong Dr Mahathir Mohamad serta PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS