Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR Johor dakwa k'jaan pusat peruntuk RM8.7j pada Adun Bersatu, Umno
Diterbitkan:  May 8, 2020 6:20 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah mendakwa kerajaan persekutuan menyalurkan peruntukan khas tambahan sebanyak RM300,000 kepada setiap 29 Adun Perikatan Nasional (PH) di Johor dengan jumlah keseluruhan RM8.7 juta.

Beliau mendakwa ia merupakan satu usaha untuk mengekalkan sokongan Adun Johor di tengah-tengah pergolakan antara Bersatu dan Umno di negeri itu.

"Sebenarnya tidak mustahil hal yang seperti ini boleh berlaku, kerana di tengah- tengah pergolakan antara Bersatu-Umno di Johor, tampak kerajaan Perikatan Nasional (PN) di peringkat persekutuan mahupun negeri begitu terdesak dan akhirnya terpaksa melakukan sesuatu bagi mengekalkan sokongan yang ada," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Puah, amatlah tidak wajar 'peruntukan tambahan itu dibuat kerana kerajaan negeri telah pun menyediakan peruntukan yang lebih kurang sama kepada Adun di negeri itu.

"Sewajarnya dalam keadaan begini, peruntukan tersebut disalurkan kepada Kementerian Kesihatan bagi melawan wabak Covid-19, kepada golongan yang terjejas sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) atau kepada petugas barisan hadapan seperti doktor, pegawai kesihatan dan polis, kerana itu lebih bermakna," tegasnya.

Puah mendakwa berdasarkan maklumat yang diperolehinya, bayaran berkenaan akan dibuat melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU).

Tambahnya, amalan itu agak luar biasa dan sepanjang menjadi Adun, beliau tidak pernah menerima sebarang peruntukan secara terus daripada kerajaan pusat.

"Kebiasaannya ICU hanya akan menyalurkan peruntukan kepada ahli parlimen atau agensi kerajaan berkaitan sahaja," katanya.

Tambahnya, mengikut amalan sebelum ini, peruntukan Adun diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan bukan Jabatan Perdana Menteri.

"Manakala proses penyaluran kepada rakyat dan pemantauan pula akan dilaksanakan oleh Pejabat Pegawai Kewangan Negeri (PKN) dan Pejabat Daerah, bukan ICU," jelasnya.

Sehubungan itu beliau meminta penjelasan Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad berhubung perkara itu.

Malaysiakini telah menghubungi Hasni untuk mendapatkan respons.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS