story images
story images
mk-logo
Berita
‘Jangan sewenang-wenangnya bankrapkan peniaga’
Diterbitkan:  May 8, 2020 5:56 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA) meminta kerajaan memastikan sistem perundangan negara tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman muflis terhadap peniaga yang terjejas akibat Covid-19.

Presidennya Moehamad Izat Emir, berkata kerajaan perlu meneliti dan mempertimbangkan isu kebankrapan peniaga ini dengan sebaik mungkin.

"Dari sudut undang-undang hakim harus teliti memahami masalah ini sebelum memutuskan status muflis ini.

"Peniaga yang dimufliskan ini akan memberi kesan kepada perniagaan mereka dan ekonomi domestik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malaysia melakukan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac dan dijadualkan berakhir 31 Mac bagi memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun kerajaan terus melanjutkan PKP untuk beberapa fasa dan dijualkan akan berakhir 12 Mei ini.

Seleras dengan pelaksanaan PKP segala urusan perniagaan dan kerajaan tidak dapat beroperasi kecuali sektor yang mempunyai kepentingan awam.

Bagaimanapun pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dengan memberikan sedikit kelonggaran.

Keputusan itu menyaksikan hampir kesemua sektor ekonomi negara mula beroperasi 4 Mei lalu.

Moehamad Izat berkata, hutang dan kos operasi dalam perniagaan bukan perkara yang mudah untuk diuruskan oleh golongan peniaga berikutan tiada aktiviti perniagaan hampir dua bulan.

Antara yang terkesan katanya, pengusaha teksi, pengusaha kecil katering dan butik pengantin serta hampir 40 peratus perniagaan baru teknologi mungkin gulung tikar seperti dinyatakan oleh Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia baru-baru ini.

"Malah di luar negara juga beberapa bidang peruncitan turut tejejas akibat isu yang sama.

"Kerajaan kena cari jalan apa yang perlu bagi membantu peniaga untuk meneruskan perniagaan dan elak bankrap ini berlaku," katanya.

Menurut beliau, perkara itu bukan disengajakan dan bukannya kelemahan peniaga tetapi terjejas disebabkan isu Covid-19.

"Saya harap sangat Perdana Menteri dapat memandang serius perkara ini," katanya lagi.

Kata Moehamad Izat lagi, DPIA turut menerima banyak aduan daripada peniaga yang terjejas ekoran penularan wabak Covid-19.

Beliau bagaimanapun menyuarakan keyakinan bahawa kerajaan peka terhadap masalah yang dihadapi peniaga pada masa ini dan akan mencari jalan penyelesaian sewajarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS