Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Jangan melencong, tuju destinasi dipohon saja’
Diterbitkan:  May 8, 2020 3:09 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

Orang ramai yang melakukan perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kediaman masing-masing di bawah applikasi Gerak Malaysia tidak dibenarkan melencong ke destinasi lain semasa tempoh perjalanan dibenarkan itu.

Menteri Kanan (keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, pada sidang medianya di Putrajaya berkata mereka perlu mengikut perjalanan yang sudah ditetapkan saja.

“Dalam permohonan kepada polis, akan ditulis destinasi.

Sebagi contoh, kalau dari Johor tadi desitnasi ke Kuala Lumpur, tak boleh la hampir sewaktu berbuka, abang dia di Melaka, melencong ke Melaka. Tak boleh.

“Dia mesti meneruskan perjalanan ikut destinasi yang dipohon daripada pihak polis. Untuk berbuka puasa, saya galakkan bawak bekalan makanan di dalam kereta,” katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan pengecualian kebenaran rentas negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu adalah setakat empat hari sahaja.

Ini katanya, bagi membolehkan mereka yang terperangkap di kampung balik ke kediaman masing-masing.

"Kebenaran ini akan tamat 10 Mei (Ahad) saja.

“Ia hanya boleh berlaku di dalam tempoh pengecualian empat hari ini, sementara saja," katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi kelonggaran untuk mereka yang menaiki kenderaan enam tempat duduk untuk membawa enam penumpang, berbanding empat yang dibenarkan sebelum ini.

"Kita benarkan mereka yang naik motosikal untuk balik juga. Semalam, ada rayuan balik kampung dengan kenderaan enam penumpang, mereka kata kalau hanya dibenarkan empat saja, mereka ada enam orang, dua lagi kena tinggal.

"Pihak polis juga mempunyai budi bicara, di mana kenderaan yang mempunyai enam tempat duduk dibenarkan balik,” katanya.

Pergerakan antara negeri bermula 7 Mei lalu dan akan berakhir 10 Mei.

Ia dimulai dengan Kuala Lumpur diikuti pergerakan pulang dari Perak, Johor dan Kelantan hari ini, manakala Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang (Sabtu) dan Selangor, Negeri Sembilan, dan Terengganu (Ahad).



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS