Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
15 Mei - Tarikh baru pengurusan kes rasuah RM2 juta Ku Nan
Diterbitkan:  May 8, 2020 1:35 PM
Dikemaskini: 5:35 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 15 Mei ini untuk pengurusan kes bagi mendapatkan tarikh baharu perbicaraan pembelaan kes rasuah RM2 juta membabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan itu, berkata mahkamah sebelum ini menetapkan 5 Mei untuk sebutan semula namun ia dilapangkan berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

"Kami menerima e-mel daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Catherine Nicholas, yang memberitahu bahawa mahkamah telah menetapkan 15 Mei, jam 9 pagi, untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan baharu di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan," katanya kepada Bernama melalui mesej WhatsApp.

Pihak pembelaan dijangka memanggil dua atau tiga saksi untuk memberi keterangan apabila perbicaraan itu disambung semula.

Tengku Adnan, 69, memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi pada hari pertama prosiding pembelaannya pada 17 Jan lepas. Beliau telah selesai memberi keterangannya pada 5 Mac.

Pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri atas pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap kes tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong, yang juga merupakan Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016.

Tengku Adnan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS