Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail Kamus selamat dikebumikan
Diterbitkan:  May 8, 2020 1:25 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

Pendakwah terkenal Datuk Ismail Kamus, yang meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi di kediamannya, selamat dikebumikan pada 11 pagi ini.

Jenazah Allahyarham yang disolatkan bermula 10 pagi secara bergilir-gilir di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat di Kuala Lumpur, dipimpin Menteri Alam Sekitar Dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga merupakan timbalan presiden PAS, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Taman Lembah Keramat.

Tuan Ibrahim yang ditemui pemberita menyarankan, mereka yang tidak sempat datang kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, untuk melaksanakan sembahyang ghaib di tempat masing-masing.

"Saya yakin rakan-rakan di Indonesia, Brunei, Singapura serta beberapa tempat di Eropah dan Amerika Syarikat yang dapat maklumat ini, mereka juga mendirikan sembahyang ghaib.

"Saya yakin di mana-mana pun doa kita akan sampai," katanya.

Mengakui mempunyai pengalaman peribadi yang sangat 'lama' bersama Allahyarham, Tuan Ibrahim berkata, apa yang jelas pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar bagi umat Islam, khususnya beliau merupakan seorang tokoh ilmuwan yang banyak membimbing ummah dengan banyak kaedah dan cara.

Sementara itu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengakui, berasa kehilangan dengan pemergian Allahyarham. Siapa yang tak kenal Datuk Ismail dan bagi saya sendiri, secara peribadi pernah menjadi anak murid beliau, dalam perubatan Islam di Darussalam.

"Saya yakin ramai anak murid Allahyarham yang mendoakannya, walaupun hari ini kita terpaksa mengehadkan kehadiran orang ramai," katanya.

Allahyarham yang merupakan veteran Pas itu dimasukkan ke wad sejak 26 April disebabkan keadaan kesihatan yang agak lemah, dan kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari sama dan didapati terdapat jangkitan di bahagian paru-paru.

Allahyarham juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama sepenggal pada 1999 hingga 2004, dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Pada 9 Mei tahun lalu, Allahyarham yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia, dilaporkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Allahyarham dilahirkan pada 2 Dis 1948 di Kampung Batang Rening, Ulu Selangor.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS