- KEMASKINI 11.34PM | Penambahan kenyataan Marzuki Yahya berkenaan keputusan mesyuarat MPT Bersatu pada akhir Februari lalu, serta kuasa Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi parti.
Seorang pemimpin Pemuda Bersatu (Armada) menyangkal dakwaan bahawa keputusan untuk keluar daripada PH memang telah dibuat oleh kepemimpinan tertinggi parti itu.
Ketua Penerangan Armada Ulya Aqamah Husamudin, berkata Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memang membincangkan sama ada untuk keluar PH atau tidak, pada 23 Februari lalu.
Bagaimanapun Ulya mendakwa ketetapan MPT ketika itu adalah untuk memberi masa kepada pengerusi Dr Mahathir Mohamad bagi memutuskan perkara berkenaan.
“Sehingga hari ini, MPT masih belum menetapkan apa-apa hubungan politik secara formal.
“Oleh kerana tiada gabungan politik yang dipersetujui oleh MPT, tidak salah untuk model kerajaan Kedah diguna pakai, iaitu PH bersama Bersatu,” katanya yang juga anggota MPT parti itu, dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Radzi Jidin hari ini, yang mendakwa keputusan untuk keluar PH diputuskan MPT dalam mesyuarat 23 Februari lalu.
Radzi berkata mana-mana ahli yang ingkar terhadap dasar dan keputusan parti, termasuk sengaja menyertai gabungan parti-parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti, boleh digugurkan keahliannya.
Dalam pada itu, Ulya mendakwa yang Bersatu tidak pernah bersetuju untuk mengadakan kerjasama dengan Umno, PAS ataupun Perikatan Nasional (PN).
Beliau turut mendakwa MPT juga hanya bersetuju dengan Mahathir sebagai calon perdana menteri daripada Bersatu.
“Justeru itu, apabila ahli Parlimen Bersatu yang lain menghantar nama kedua, tindakan itu telah melanggar ketetapan MPT.
“Penting untuk maklum MPT tidak pernah mengubah pendirian ini (calon perdana menteri),” katanya lagi.
Dalam pada itu, seorang lagi pemimpin Bersatu Marzuki Yahya dalam kenyataan berasingan, turut mendakwa perkara sama.
"Dua perkara amat jelas diputuskan dalam mesyuarat terakhir MPT pada 24 Februari, iaitu sebulat suara menolak peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi, dan sebulat suara menamakan beliau sebagai calon tunggal perdana menteri.
"Mesyuarat MPT pada 23 Februari, tiada keputusan rasmi untuk Bersatu keluar daripada PH. Walaupun perkara tersebut dibahaskan tetapi akhirnya keputusan sebulat suara memberi sepenuhnya kepecayaan kepada Dr Mahathir selaku pengerusi untuk membuat keputusan," jelasnya, yang menyangkal kenyataan Radzi.
Beliau juga mendakwa MPT Bersatu tidak pernah bersetuju untuk mengadakan sebarang hubungan dengan Umno dan PAS.
Untuk rekod, Jawatan Marzuki sebagai setiausaha agung Bersatu kini dalam pertikaian, susulan pergeseran antara Mahathir dengan presiden parti, Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin memecat Marzuki dan melantik Hamzah Zainuddin sebagai setiausaha agung pada 18 Mac lalu. Bagaimanapun Mahathir berkata pemecatan itu terbatal dan tidak sah kerana tidak memenuhi peraturan parti.
'Pengerusi ada kuasa'
Marzuki turut menyangkal kenyataan Radzi bahawa Mahathir tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani kenyataan bersama PH dan Warisan bagi pihak Bersatu, yang menurutnya bercanggah dengan pendirian parti itu.
Kenyataan itu berkenaan tuntutan agar sidang Dewan Rakyat yang seterusnya diadakan selama dua minggu, bukan hanya sehari seperti yang ditetapkan pada masa ini.
"Pemimpin utama parti dan kuasa mutlak untuk memimpin Bersat adalah Dr Mahathir selaku pengerusi, selari dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan perlembagaan parti.
"Ia selaras dengan Fasal 16.2 parti bahawa tugas-tugas pengerusi adalah menjadi pengerusi dan pemimpin utama parti yang bertanggungjawab menjamin kelicinan keseluruhan perjalanan pentadbiran serta dasar parti," katanya lagi.
Berkenaan kenyataan Radzi bahawa ahli yang ingkar dengan keputusan parti boleh terlucut keahlian, Marzuki berkata Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu tidak terpakai dalam isu itu.
"Persoalan saya kepada Radzi, siapa yang langgar keputusan MPT?...Sebagai ketua penerangan yang ada dalam mesyuarat MPT, beliau seharusnya berpegang teguh kepada keputusan mesyuarat, bukan membelakanginya," katanya lagi.