mk-logo
Berita
Wee: Bukan sewenang-wenang tak nak bagi balik kampung beraya
Diterbitkan:  May 7, 2020 3:09 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata setakat ini pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin jelas menyatakan bahawa orang ramai tidak dibenarkan untuk pulang berhari raya di kampung, kata Menteri Pengakutan Wee Ka Siong.

Wee berkata, rakyat perlu sedar bahawa kerajaan bukan sewenang-wenangnya tidak membenarkan rakyat pulang ke kampung bagi berhari raya.

"Bukan sewenang-wenangnya tak nak bagi balik kampung, kita sedar ada kelonggaran dan ini berkisar soal disiplin rakyat.

"Kita perlu anjakan paradigma atau normal baru, saya tak berani nak meramal apa juga kemungkinan akan berlaku," katanya pada program temu bual yang diberi nama "Hello-Hello."

Temu bual itu dihoskan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang juga pengerusi BN.

Jelas Wee lagi, dalam tempoh dua minggu ini kerajaan juga akan melihat penularan wabak Covid-19 sebelum membuat sebarang keputusan berpandukan saranan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Pada waktu ini masih terlalu awal untuk meramalkan, musim perayaan hanya akan bermula selepas 20 atau 21 (Mei) dalam tempoh dua minggu lebih ini kita akan lihat penularan kes Covid-19.

"Pertama adakah 12 hari bulan sudah memadai tidak perlukan perintah kawalan pergerakan (PKP) atau diubahsuai PKP kita, itu satu perkara yangg perlu kita lihat.

"Kita ambil pandangan ketua pengarah kesihatan dan dari semasa ke semasa kabinet akan merujuk nasihat profesional daripada pihak KKM," katanya lagi.

Pada wawancara "Hello-hello" itu, Zahid bertanya Wee mengenai kemungkinan kabinet akan membenarkan orang ramai untuk merentas sempadan bagi pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Pada 1 Mei lalu, perdana menteri mengumumkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu.

Keputusan itu menyaksikan hampir kesemua sektor ekonomi negara mula beroperasi Isnin lalu bagi merancakkan kembali ekonomi negara.

Bagaimanapun Muhyiddin mengumumkan bahawa perjalanan rentas sempadan bagi pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri masih belum dibenarkan.

Hari ini dalam satu wawancara bersama BH Online Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memaklumkan rakyat Malaysia pada tahun ini tidak dapat melakukan kunjungan muhibah menziarahi satu sama lain sebagaimana kebiasaan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ziarah ini tidak boleh dilakukan walau pun di dalam kawasan sempadan negeri yang sama.

Ismail berkata pada masa ini, kerajaan memang membenarkan pergerakan tanpa had masa antara daerah tetapi ziarah untuk hari raya masih tidak dibenarkan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS