Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images

Di Chow Kit, kenderaan semakin banyak kelihatan di jalan raya. Orang semakin ramai di kedai, mungkin menyelesaikan urusan yang sebelum ini lama tertangguh sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), sehinggalah ia dilonggarkan kepada PKP bersyarat (PKPB) dua hari lalu.

Meskipun tidaklah sesak seperti kelaziman Chow Kit, kawasan itu beransur-ansur kembali seperti biasa.

Jika ada yang lain daripada biasa, ialah kewujudan khemah-khemah putih yang didirikan di beberapa simpang dan jalan masuk menuju ke Pasar Raja Bot, Hotel Antarabangsa Kuala Lumpur, Hotel The Regency dan kawasan-kawasan sekitarnya.

Setiap khemah putih rata-ratanya dikawal beberapa anggota polis dan tentera yang lengkap bersenjata, bertanyakan setiap kenderaan yang ingin melalui simpang atau jalan masuk berkenaan. Malah di beberapa jalan masuk, ada kawat duri direntang.

Kawasan itu, sejak lewat malam kelmarin, diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) diperkasakan, merangkumi persekitaran kawasan Pasar Jalan Raja Bot.

Kawad duri di simpang

Berdasarkan tinjauan Malaysiakini, kawalan khemah putih dilakukan di beberapa simpang masuk dari sepanjang Jalan Raja Abdullah (berdekatan Masjid Jamek Kampung Baru) dan Jalan Raja Muda Abdul Aziz.

Sementara itu, kawad berduri didapati dipasang di simpang-simpang masuk dari sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman, untuk ke Jalan Raja Bot dan Jalan Raja Alang.

Ada kenderaan yang cuba memasuki kawasan tersebut tetapi tidak dibenarkan, namun ada juga yang dibenarkan. Ini termasuklah penghantar makanan- ada yang lepas, ada yang tidak.

Meskipun pergerakan keluar masuk dikawal ketat, anggota yang bertugas masih membenarkan pergerakan sebahagian penduduk untuk keluar-masuk selepas bertanyakan beberapa soalan.

Ada juga penduduk yang dibenarkan melepasi kawalan setelah menunjukkan sepucuk surat yang dibawa bersama mereka.

Bagaimanapun, difahamkan, petugas media tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan, kecuali petugas media daripada sebuah stesen penyiaran swasta.

Seorang tukang sembelih ayam yang bekerja di Pasar Raja Bot, Nazarudin Kasim, 55, memberitahu Malaysiakini, penduduk yang tinggal di kawasan PKP diperkasakan masih boleh keluar masuk, jika mempunyai “surat” kebenaran.

“Boleh (keluar), kalau ada surat untuk keluar bekerja.

“Kalau yang hendak keluar cari makan, kena tulis nombor IC (kad pengenalan) dan nama,” katanya sambil memaklumkan, dia dapat tahu kawad berduri mula dipasang di kawasan sekitar situ kira-kira jam dua pagi kelmarin.

Dia ditemui di kediamannya di Kampung Periok, hanya kira-kira 300 meter dari Jalan Raja Alang yang berada dalam lingkungan kawasan yang dikawal, dan kira-kira 600 meter dari Pasar Raja Bot.

Bawa dokumen putih

Ketika Malaysiakini membuat tinjauan di sekitar Jalan Raja Alang tengah hari semalam, beberapa penduduk yang berjalan untuk keluar dari jalan tersebut, didapati membawa dokumen putih bersama mereka.

Ketika didekati, mereka memaklumkan mereka baru pulang daripada menjalani saringan Covid-19.

Setakat kelmarin, dilaporkan terdapat 16 kes positif di kawasan itu, menjadikan jumlah meningkat kepada 44 kes.

Pasar Raja Bot diperintahkan tutup 14 hari, bermula 29 April sehingga 13 Mei, atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memberi laluan proses basmi kuman dan saringan Covid-19 terhadap peniaga dan pekerjanya.

Kata seorang peniaga gerai makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Abu, 28, penutupan pasar berkenaan turut menjejaskan perniagannya yang keputusan bekalan bahan mentah dari pasar tersebut.

Katanya yang meniaga tidak jauh dari kawasan PKP diperkasakan itu, jika sebelum ini, dia hanya perlu membuat pesanan melalui WhatsApp sebelum mengambil bekalan bahan mentahnya yang telah disiapkan oleh peniaga di Pasar Raja Bot, kini dia perlu membeli bahan mentah dari sekitar rumahnya di Ampang.

“Beli bahan mentah banyak dari luar, jauh sikit sekarang, di Ampang.

"Di sini (Pasar Raja Bot) harga murah berbanding dengan tempat lain, iyalah, harga orang dah biasa,” katanya ketika ditemui di gerainya, di sekitar Jalan Dewan Sultan Ismail.

Seorang penjual dan penghantar tong gas, yang hanya mahu dikenali sebagai Ridwan, 58, mengesahkan bahawa kebenaran melepasi kawalan khemah putih hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai urusan tertentu.

Ketika ditemui, dia baru sahaja menghantar dua balang tong gas ke satu bangunan rumah pangsa di dalam kawasan PKP diperkasakan.

“Saya tadi hantar dua balang tong gas, lepas. Di rumah flat. Tapi saya letak di bawah sahaja, dia turun ambil.

“Kalau mustahak dia (anggota yang mengawal) lepaslah,” katanya lagi.

Ketika cuba mendapatkan penjelasan berkenaan kebenaran keluar-masuk melepasi kawasan kawalan, seorang anggota bertugas memaklumkan, kawasan PKP diperkasakan dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bahagian "dalam" dan "luar".

Sementara penduduk di bahagian "luar" masih dibenarkan untuk keluar dan masuk melepasi kawasan kawalan, mereka yang tinggal di bahagian "dalam" tak dibenarkan berbuat demikian.

Sumber Pusat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CMC) berkata kawasan Pasar Jalan Raja Bot bukanlah dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), tetapi PKP diperkasakan - atau separa PKPD.

Dua lagi kawasan diletakkan di bawah perintah sama ialah Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti di Selayang.

“Boleh keluar masuk tapi keselamatan diperketatkan sikit,” kata sumber itu.

Kelmarin juga, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, tiada PKPD baru selagi mana ia tidak diumumkan kerajaan, tapi mengakui ada beberapa tempat yang diketatkan kawalan “secara administratif”.

Bagi kawasan yang dikenakan PKPD, keluar atau masuk penduduk adalah tidak dibenarkan sama sekali, dan bekalan makanan akan dibekalkan oleh kerajaan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS