Dewan Rakyat setakat ini tidak menerima sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin daripada anggota parlimen pembangkang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Eddin Syazlee Shith.
"Setakat ini tak ada (yang menghantar usul itu)," katanya kepada Malaysiakini.
Menurut peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, anggota parlimen dibenarkan memfailkan notis usul dalam tempoh 14 hari sebelum sidang diadakan. Usul itu kemudian akan dimasukkan dalam aturan mesyuarat pada hari persidangan.
Jika tempoh masa 14 hari itu tidak dipenuhi, anggota parlimen masih boleh memfailkan usul tergempar dalam soal membabitkan kepentingan awam, sekurang-kurangnya 24 jam sebelum sidang.
Pembangkang pernah berusaha mengadakan undi tidak percaya terhadap Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak, masing-masing pada 2008 dan 2015, dalam bentuk usul tergempar, tetapi kedua-duanya ditolak Dewan Rakyat.
Sebelum ini, PH membayangkan ia akan membawa usul itu terhadap Muhyiddin Yassin susulan kejatuhan pentadbiran PH pada Februari.
Bagaimanapun Pada 13 Mac lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata gabungan itu sebaliknya akan memberi tumpuan kepada pandemik Covid-19 dan kemerosotan ekonomi.
Dalam sepucuk surat bertarikh 17 April, setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat berkata sidang parlimen yang akan diadakan sehari, iaitu pada 18 Mei, hanya akan membahaskan rang undang-undang kerajaan.
Pembangkang menggesa sidang diadakan selama dua minggu memandangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) telah pun dilonggarkan.
Anwar dijangka ketua pembangkang
Sementara itu, Eddin berkata pembangkang belum menghantar calon untuk menjadi ketua pembangkang di Parlimen.
"Ura-ura menyebut Anwar akan jadi ketua pembangkang."
Beliau berkata kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan untuk bacaan pertama pada hari tersebut.
"Bacaan kedua dan ketiga akan dibentang ketika sidang seterusnya, pada Julai," katanya.
Beliau juga berkata rancangan kerajaan untuk membuat usul menggantikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming mungkin tidak akan diteruskan pada sidang 18 Mei.
"Tak sempat untuk bawa usul itu," katanya.
Ditanya jika Anggota Parlimen Pengerang Azalina Othman Said akan menggantikan Nga, Eddin berkata beliau merupakan antara calon untuk jawatan itu.
Berkenaan kedudukan Yang Dipertua Mohamad Ariff Md Yusoff, beliau berkata kerajaan masih belum membuat keputusan dan tiada cadangan untuk menggantikannya setakat ini.
Sejumlah pihak dalam Perikatan Nasional merasakan Ariff patut dikekalkan memandangkan beliau menjalankan tugas secara profesional.
Pada sidang 18 Mei, Eddin berkata sebahagian anggota parlimen kerajaan akan duduk di galeri awam di tingkat dua bagi menjaga aspek penjarakan sosial.
Ditanya berkenaan kedudukan anggota Parlimen Bersatu di Dewan Rakyat, yang berada di pihak kerajaan dan juga pembangkang, beliau berkata: "Kalau anda ada idea, kongsilah.
"Kita sedang fikirkannya...BIla tiba masa, kita akan buat susunan sewajarnya," katanya lagi.