Paling Popular
Terkini

Polis akan menyemak kebenaran perjalanan rentas negeri menggunakan kod QR yang dimuat turun dari aplikasi Gerak Malaysia, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed.

Bercakap kepada media di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata semakan menggunakan kod QR itu akan dilaksanakan mulai esok sehingga 10 Mei.

Pada 3 Mei lalu, Huzir berkata, orang ramai yang terkandas di kampung dan perlu melakukan perjalanan rentas negeri tidak perlu mendapatkan kelulusan daripada polis asalkan mereka mendaftar lebih awal melalui Gerak Malaysia.

Menjelaskan hal itu beliau berkata sebelum ini orang ramai memang tidak perlu menunggu kelulusan selagi perjalanan mereka dikemas kini melalui aplikasi berkenaan.

Namun kata Huzir kini polis yang bertugas di sekatan jalan raya akan meminta pengguna menunjukkan kod QR mereka menggunakan telefon pintar.

Perubahan itu, katanya, dibuat kerana data awal menunjukkan hanya 29.5 peratus daripada 503,276 pemohon perjalanan merentas negeri sudah mengemas kini maklumat masing-masing seperti dikehendaki pihak berkuasa.

"Baki 70.5 peratus lagi - atau 354,700 orang - tidak mengemas kini maklumat pergerakan rentas negeri mereka," katanya sambil menambah, orang ramai yang terlibat perlu membuat kemas kini tersebut selewat-lewatnya hari ini.

Menurut Huzir, polis terpaksa mengambil pendekatan itu kerana sebelum ini ramai orang menyangka mereka hanya perlu membuat permohonan kepada polis tanpa perlu menunggu kelulusan polis sebelum memulakan perjalanan.

Katanya pemeriksaan kod QR di sekatan jalan raya dibuat kerana ada kemungkinan ada orang yang menunggu sehingga ke saat-saat akhir untuk mengemas kini butiran perajalana rentas negeri.

"Polis perlu memastikan tiada mana-mana individu menyalahgunakan perkhidmatan ini dan mengambil peluang saja-saja melakukan perjalanan rentas negeri dan ia belum dibenarkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat," katanya.

Dengan adanya kod QR itu, kata Huzir, hanya orang yang benar-benar terkandas saja dibenarkan membuat perjalanan mengikut jadual yang ditetapkan.

Katanya ia juga membolehkan polis membuat perancangan bagi memastikan aliran trafik lancar selain menjimatkan masa pemeriksaan di sekatan jalan raya.

Beliau menambah, bagi individu yang berdepan kesukaran menggunakan atau memuat turun aplikasi Gerak Malaysia, mereka boleh pergi ke balai polis terdekat dan membuat permohonan secara manual.

"Mereka kemudian boleh menunjukkan surat kebenaran yang diberikan polis semasa di sekatan jalan raya," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS